Friday, October 23, 2015

Restoran khusus untuk gelandangan diwujudkan



Restoran khusus untuk gelandangan diwujudkan
Skuad Mubaligh mengedarkan makanan kepada gelandangan di Terminal One, semalam.
SEREMBAN - Sebuah restoran akan dibuka di bandar ini, khusus membolehkan golongan gelandangan mendapatkan makanan secara percuma.

Restoran yang diusahakan Skuad Mubaligh Malaysia  itu akan dibuka hujung tahun ini dan menjadi restoran pertama di negeri ini menyediakan makanan percuma kepada gelandangan.

Presidennya, Mohamad Zamri Vinoth berkata, restoran berkonsepka  Eat how much you want and pay how much u can itu juga boleh dikunjungi orang ramai yang mengalami masalah kewangan dan kesempitan hidup.

“Setiap gelandangan perlu mendaftar dengan kami terlebih dahulu dan mereka akan diberi kad di mana akan memperoleh makanan secara percuma.

"Manakala orang ramai pula, mereka boleh makan di restoran kami tetapi mereka perlu menderma tidak kira berapa mereka mampu dengan memasukkan ke dalam tabung yang diletakkan di restoran nanti,” katanya.

Menurutnya, hasil kutipan derma orang ramai itu akan menjadi modal kepada Skuad Mubaligh untuk menyediakan makanan setiap hari.

“Tiada kaunter bayaran di restoran dan sumbangan seikhlas hati mereka. Buat permulaan, kita menyediakan makanan tengah hari dahulu. Jika mendapat sambutan dan terima banyak sumbangan, kita akan lanjut ke makan malam.

“Kita juga mendapat kerjasama baik daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), NGO dan juga syarikat korporat bagi menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita pada Program Food For Free anjuran pihaknya di Terminal One, di sini, semalam.

Mohamad Zamri Vinoth berkata, usaha itu dilakukan bagi membantu gelandangan dan masyarakat hidup tanpa kebuluran.

“Seramai 18 kakitangan kita akan terlibat dengan program ini dan ramai belia turut akan serta membantu.

“Insya-ALLAH, kita yakin usaha dakwan ini akan mendapat sokongan daripada ramai pihak dan akan menjadi contoh kepada NGO lain,” katanya.

Pada program itu, sebanyak 500 bungkusan makanan percuma diedarkan kepada orang ramai dan gelandangan di sekitar Terminal One.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: