Mohamad bersama pemenang ADS1M yang diraikan di Kampung Serting Ulu, semalam.
SERTING ULU - Masyarakat Orang Asli di negeri ini bakal menerima berita gembira kerana proses mewarta dan menggazetkan penempatan mereka di bawah projek kerajaan negeri, kini telah memasuki fasa akhir.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia melibatkan 43 kampung Orang Asli di mana projek itu salah satu dasar pembangunan luar bandar negeri ini.
“Kebanyakan penempatan mereka ini dekat hutan simpan dan tidak tersenarai dalam peta kita. Jadi, dikhuatiri timbul masalah kemudian hari.
“Kerajaan negeri mahu hak dan kepentingan mereka dijaga, kerana mereka juga masyarakat luar bandar yang pembangunannya perlu diambil perhatian.
“Setakat ini, kita sudah buat ukuran kasar penempatan Orang Asli yang terlibat, namun berharap mereka tidak salah faham dan tidak perlu bimbang susulan apa yang dilakukan ini untuk kebaikan mereka.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai majlis penyampaian hadiah Anugerah Desa Sejahtera 1 Malaysia (ADS1M) peringkat negeri di Kampung Serting Ulu, semalam.
Mohamad berkata, kerajaan negeri juga berhasrat membuka ladang getah di kampung itu dengan kerjasama agensi kerajaan.
“Namun, projek ladang getah itu akan dilakukan secara berperingkat dan mengambil kira juga kemampuan kerajaan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian Kampung Serting Ulu yang berjaya dinobatkan johan pertandingan ADS1M peringkat negeri sekali gus mewakili negeri ini pada peringkat kebangsaan.
“Anugerah ini pemangkin semangat dan nafas baru kepada kampung,” katanya.
Turut berlangsung pelancaran produk Kampung Serting Ulu dan penyampaian sijil penghargaan panel hakim, anugerah khas ADS1M, serta sijil penghargaan kampung yang bertanding.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: