Antara golongan lelaki dewasa yang mengikuti kelas al-Quran di Teratak Ngaji.
DUNGUN - Sebuah kelas al-Quran diberi nama Teratak Ngaji khas untuk golongan dewasa dibuka di Pulau Serai, di sini, sejak Mei lalu.
Pengasasnya, Abdul Fatahul Aziz Ab Karim berkata, Teratak Ngaji itu bertujuan membantu golongan dewasa khususnya lelaki yang tidak pandai mengaji al-Quran, selain melahirkan generasi yang arif mengenai al-Quran.
Menurutnya, masih ramai yang belum menguasai bacaan ayat al-Quran dengan betul, bahkan ada yang buta al-Quran dan tidak mengenal huruf.
“Teknik pengajaran dan pembelajaran juga berkonsepkan santai bagi memberi keselesaan kepada pelajar. Malah, kita guna konsep talaqi, tajwid dan tahfiz (3T) dan proses belajar boleh bermula dari iqra.” katanya.
Kata Abdul Fatahul Aziz, syarat untuk memasuki kelas itu mestilah berusia 18 tahun ke atas dan setakat ini hanya dibuka untuk lelaki sahaja.
“Yuran dikenakan amat berpatutan dan dikongsi dengan Masjid Pulau Serai serta bukan untuk keuntungan.
“Setakat ini sambutan diterima amat menggalakkan dan kita sedia membimbing mereka yang betul-betul bersungguh,” katanya.
Lebih menarik dan kelebihan untuk peserta katanya, mereka boleh memilih masa belajar yang diinginkan.
“Pada hari Ahad hingga Selasa kelas bermula pada jam 9.30 malam hingga 11 malam, manakala Rabu hingga Sabtu waktu adalah fleksibel mengikut pilihan peserta dan persetujuan bersama.
“Ia juga terbuka untuk sesi individu, kumpulan dan keluarga supaya dapat memberi keselesaan kepada pelajar,” ujarnya.
Beliau berharap dengan ilmu yang dikongsikan bersama peserta dapat melahirkan lebih ramai masyarakat yang mampu membaca al-Quran dengan baik dan dapat disebarkan pula kebaikannya untuk orang lain.
Abdul Fatahul Aziz berkelulusan Ijazah Sanad Quran dari Syeikh Abdul Nabi’ Riwayat Hafs A’Sim, Diploma Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan Besut dan berpengalaman mengajar al-Quran seawal usia 18 tahun.
Beliau juga pernah menjadi hakim hafazan peringkat negeri 2014 hingga 2015, hakim hafazan kebangsaan sekolah -sekolah agama 2014 dan jurutasmi’ skim hafazan terbuka anjuran Maidam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: