Thursday, October 29, 2015

Malam Kalimah Cinta


Hafiz Hamidun

SELEPAS tiga konsert Zikir Terapi yang diadakan sejak tiga tahun lalu mendapat sambutan luar biasa, kini penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun sekali lagi tampil dengan persembahan yang pastinya bakal meninggalkan kesan buat penontonnya.
Namun konsep konsert yang diberi nama Malam Kalimah Cinta dibawa kali ini berbeza daripada konsert terdahulu malah ia diadakan sempena meraikan Hari Maulidur Rasul yang akan dijalankan pada 24 dan 25 Disember 2015.
Bagaikan mimpi menjadi kenyataan, hasrat Hafiz untuk menakluki pentas berprestij, Istana Budaya (IB) akhirnya tercapai dengan persembahan konsert kali ini.
“Alhamdulillah, setelah sekian lama menyimpan hasrat untuk ke IB, akhirnya saya berpeluang membuat persembahan di sana nanti. Banyak perancangan yang saya fikirkan untuk meriahkan lagi persembahan di IB itu nanti.
“Sebelum ini, konsert saya diadakan di stadium dan cabarannya agak sukar untuk menarik penonton dalam skala yang besar.
“Bagaimanapun itu tidak bermakna di IB tidak ada cabarannya. Tambahan pula tarikh yang dipilih jatuh pada cuti persekolahan dan mungkin dari segi penjualan tiket juga agak sukar.
“Tapi saya cuba ambil keberkatan Maulidur Rasul dan Insya-ALLAH, saya yakin dengan konsert kali ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Kalimah Cinta, kelmarin.
Mengulas lebih lanjut mengenai persembahan itu, Hafiz memberitahu persiapan kini lebih difokuskan pada sudut teknikal terlebih dahulu.
“Sekarang kami masih lagi dalam perbincangan mengenai pemilihan dan susunan lagu sepanjang konsert berlangsung.
“Secara keseluruhan, saya akan bahagikan persembahan kepada dua bahagian di mana saya akan sampaikannya dengan konsep penceritaan perjuangan Rasulullah.
“Selain muzik, saya juga akan menitikberatkan teknik pencahayaan, baru penonton rasa berbaloi pada malam itu. Saya mahu konsert itu menjadi satu persembahan yang membanggakan negara,” tuturnya.      

Selain Hafiz, penyanyi Indonesia Opick juga akan membuat konsert menerusi Malam Kalimah Cinta yang akan berlangsung pada 23 Disember ini.      

Tiket boleh didapati menerusi laman web www.airasiaredtix.com atau di kaunter Box Office, Istana Budaya mulai 30 Oktober 2015.
Terbang ke Turki
Selain sibuk merancang konsert, Hafiz pada masa  kini sedang bekerja keras menyiapkan proses penghasilan album berkonsep selawat terbaharunya.
Ingin meletakkan karya dihasilkan ke peringkat yang lebih tinggi, penyanyi berusia 31 tahun ini sanggup membelanjakan kos yang mencecah RM500,000 untuk hasil yang terbaik.
“Album saya kali ini menjalani proses rakaman di Malaysia, Turki dan Mesir. Kalau diikutkan sebenarnya saya baharu sahaja lancarkan album April lalu.
“Saya sedar penjualan album itu penjualannya tidaklah memberi impak yang kuat di mana ia hanya diterima di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Tapi kali ini saya mahu letakkan diri ke tahap yang lebih meluas dengan hasilkan sebuah album yang mampu diterima di peringkat global.
“Saya percaya, demi mendapatkan kualiti muzik yang bagus, kita perlu berkorban dan pasti ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Hafiz memberitahu, album selawat itu akan dilancarkan secara digital di seluruh dunia pada hari konsert yang bakal dijalankan kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: