Friday, October 30, 2015

Tomok: Sampai bila mahu menyanyi?


Tomok

MENYEDARI dunia seni ada pasang surutnya, penyanyi popular, Tomok merasakan sudah tiba masa untuknya kembali menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi seperti yang diimpikannya selama ini.
Tomok kembali bergelar penuntut selepas menerima tawaran daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ).
Pemilik nama sebenar Shah Indrawan Ismail itu kini sedang mengikuti bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kreatif bagi sesi Oktober 2015 dalam tempoh lima tahun.
“Alhamdulillah, selepas menjalani beberapa ujian kemasukan, akhirnya saya diterima masuk ke UUM.
“Kursus ini membolehkan saya mendalami pelbagai aspek mengenai pengurusan industri kreatif dan bukan sekadar berfokus dalam bidang nyanyian semata-mata.
“Insya-ALLAH, dengan ilmu yang ada ini, saya boleh menguruskan kerjaya seni sendiri tanpa perlu berharap kepada pihak lain.
“Lagipun, sampai bila saya mahu menjadi penyanyi? Jadi, apabila ada ilmu, ia umpama satu jaminan pada masa depan sekali gus menjadi contoh bukan sahaja kepada sesama artis tetapi juga kepada peminat dan keluarga,” katanya ketika ditemui pada pelancaran program tersebut, baru-baru ini.
Selepas sekian lama meninggalkan alam pembelajaran, penyanyi berusia 31 tahun itu menganggapnya sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi.
“Walaupun agak sukar, Insya-ALLAH, saya sudah bersedia.
“Lagipun, keluarga terutama isteri dan anak-anak sangat memberi sokongan penuh kepada saya untuk kembali menyambung pengajian.
“Berbekalkan dengan semangat yang dibekalkan dan jadual yang fleksibel dari UUM sendiri, saya akan membuktikan saya mampu untuk melakukannya,” katanya.
Beralih kepada perkembangan karier seninya, Tomok bakal mengeluarkan single solo terbaharunya, pada awal tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: