Thursday, October 29, 2015

Perjuangan Haiza demi Gegar Vaganza



Perjuangan Haiza demi Gegar Vaganza
Haiza
JARAK perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sememangnya bukan jauh.
Namun bagi mereka yang perlu berulang-alik setiap minggu, pasti tahu berapa tinggi kos yang perlu ditanggung dan rasa keletihan, lebih-lebih lagi yang terikat dengan jadual kerja dan sebagainya.
Begitulah yang dilalui oleh penyanyi Haiza sejak beberapa minggu ini.
Biarpun sering berulang dari Johor ke Kuala Lumpur bagi memenuhi undang nyanyian, namun tidak sama dengan jadual baharunya yang terpaksa berulang setiap minggu demi memenuhi tuntutannya sebagai peserta musim kedua.
Menurut Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, dia kini sudah menetap di Johor sejak beberapa tahun lalu selepas menjadi penyampai radio Best FM.
Katanya, biarpun jarak perjalanan tidak memakan masa yang terlalu lama, namun ia tetap memberi cabaran buatnya, apatah lagi dalam masa sama dia mempunyai kerja tetap untuk dilakukan.
"Bagi yang tidak tahu, saya kini menjadi penyampai di Best FM yang mengendalikan segmen Best Pagi dari 6 hingga 10 pagi, dari Isnin hingga Jumaat.
"Tapi sejak terlibat dengan Gegar Vaganza, dari Jumaat hingga Ahad, saya perlu berada di MBSA (Majlis Bandaran Shah Alam) untuk menjalani sesi latihan dan konsert siaran langsung untuk Gegar Vaganza.
"Biasanya hari Isnin saya cuti dan pulang ke Johor pada sebelah petang. Tetapi selepas bersiaran pada hari Selasa, saya akan kembali semula ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan studio dan balik ke Johor selepas latihan.
"Kemudian Rabu hingga Jumaat saya bekerja seperti biasa dan begitulah rutin saya selagi saya bertahan.
"Alhamdulillah majikan dan rakan-rakan penyampai memberi sokongan yang tinggi kepada saya. Mereka memahami bahawa saya adalah seorang selebriti dan diberikan kelonggaran.
"Tapi saya masih mengikut jadual dan kalau cuti pun, saya akan ambil cuti ganti atau cuti tahun. Apa yang penting, saya  tidak melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya kepada Zass.
Tambah Haiza, sebelum menyertai Gegar Vaganza musim kedua, dia pernah ditawarkan untuk menyertai Gegar Vaganza msuim pertama, namun kerana faktor anak yang masih kecil dan rasa tidak yakin, dia terpaksa menolak tawaran tersebut.
"Apa yang membuatkan saya kuat untuk menyertai musim kedua ini adalah kerana keluarga dan peminat iaitu #haizatroopers serta rakan-rakan artis yang lain.
"Malah saya rasa terharu apabila melihat mereka sanggup turun untuk memberi sokongan kepada saya," katanya.
Saingan sengit
Berkongsi perjuangannya di dalam Gegar Vaganza bersama-sama Nassier Wahab, Azian Mazwan Sapuan, Faradhiya, Amir Ukays, Ezylnn, Siti Nordiana, Acong (Sweet Child), Sheeda, Nizam (Laksamana) Zul (Handy Black) dan Ezad Lazim, Haiza berkata, kesemua bintang tersebut memberi saingan sengit kepadanya.
"Semua bintang dalam Gegar Vaganza adalah pesaing dan kehebatan mereka memang tidak dapat disangkal lagi.
"Apa yang kita fokus setiap minggu adalah persembahan masing-masing. Kami tak mahu terganggu dan fikir ini adalah sebuah pertandingan. Bagi kami biarlah juri sahaja yang membuat penilaian.
"Malah saya sendiri merasakan tak layak nak menilai persembahan yang lain, memandangkan kebanyakannya adalah senior saya.
"Namun ia tidak bermakna kebolehan diukur daripada senioriti tetapi yang penting masing-masing ada cara yang tersendiri.
"Apatah lagi setiap minggu kita menyanyikan lagu orang lain dan kita tak boleh memandang enteng kemampuan lagu tersebut dan perlu buat sehabis baik," ujarnya.
Selain menjadi penyampai radio dan menyertai Gegar Vaganza, Haiza berkata, dia masih lagi aktif menghadiri persembahan sama ada secara tertutup dan tidak pada setiap minggu.
Katanya, dia juga ada merancang untuk mengeluarkan single terbaharu sebelum menyertai Gegar Vaganza dan perancangan tersebut akan tetap diteruskan selepas ini.
"Sebelum ini, single saya bertajuk Kerana telah tercalon untuk kategori Hip Hop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21.
"Dan untuk single kedua, saya sudah berbincang dengan Damian dan kini ia dalam proses," akhirinya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: