Friday, October 30, 2015

Faye cari kelainan


Faye Khusairi

TAKUT penonton bosan dengan lakonannya, aktres Faye Kusyairi mencuba untuk membawa pelbagai karakter dalam setiap tawaran yang diterimanya.
Pada masa sama, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Istikharah Cinta ini juga berusaha untuk menjadi seorang yang versatil.
“Sebagai seorang pelakon, saya suka mencuba pelbagai watak kerana ia berupaya meningkatkan lagi kemampuan saya dalam lakonan.
“Lagipun, saya takut penonton akan bosan jika saya kerap membawakan watak yang sama setiap kali saya muncul di kaca televisyen.
“Oleh itu, saya berharap penonton dapat menerimanya dengan baik,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media Zikir Perdana, baru-baru ini.
Bahkan, pemilik nama sebenar Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi ini mengakui mempelajari banyak perkara tentang lakonan dengan sutradara tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba sejak membintangi telefilem arahannya, Buah Hati Ke-8.
“Saya ada menerima watak yang memerlukan saya untuk berperanan sebagai seorang gadis Muslimah yang sangat menjaga batas-batas pergaulannya.
“Bagi saya, karakter itu sangat istimewa sekali gus menyebabkan saya tertarik untuk menerima tawaran seperti itu.
“Ia merupakan drama adaptasi daripada sebuah novel dan dijangka akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi. Selain di negara ini, drama adaptasi itu juga akan melakukan penggambaran di Sarajevo,” katanya.
Dalam perkembangan lain, selepas berehat hampir sebulan, pelakon berusia 28 tahun itu akan kembali aktif berlakon mulai November ini.
“Kesempatan ini, saya sentiasa mencari ruang untuk bersama keluarga dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama.
“Pada masa sama, saya juga gemar menghabiskan masa dengan melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan kereta. Insya-ALLAH, saya akan terbabit dalam satu perlumbaan kereta di litar Sepang hujung bulan ini.
“Selepas ini, saya akan sibuk menjalani penggambaran telefilem terbitan Zeel Production, Awaklah Imam Saya bersama Fattah Amin dan Izreen Azminda,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: