Thursday, October 22, 2015

'Bercerai kasih, talak tiada'



'Bercerai kasih, talak tiada'
Kharir (lima, kanan) menyerahkan cenderamata kepada Rosnah selepas menyempurnakan simbolik Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pembukaan Rumah Warisan Hajah Kundur di Kampung Kayu Ara, semalam.
BUKAN hanya menyimpan seribu kenangan manis buat keluarga besar enam generasi waris Hajah Kundur, keunikan rumah Melayu lama berusia lebih 130 tahun di Kampung Kayu Ara, Rembau, mampu dijadikan medan ilmu berguna buat generasi akan datang terutama membabitkan warisan seni bina Melayu.
Generasi keempat waris Hajah Kundur, Nor Hashim A Bakar, 62, berkata, sememangnya kediaman berkenaan banyak menyimpan kenangan buatnya sendiri lebih-lebih lagi dia pernah menetap di kediaman berkenaan sejak 1967 hingga 1981.
Rumah warisan dibaik pulih
Menurutnya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Jang, perasaannya sukar digambarkan apabila kediaman itu bakal berpindah ke tempat lain.
Namun, lara hatinya ditutup dengan petikan dialog dalam filem 'Gurindam Jiwa'.
“Bercerai kasih, talak tiada, seribu tahun bertemu jua. Saya yakin dengan jaminan yang diberikan pensyarah dan pelajar Seni Bina Politeknik Port Dickson untuk membina dan membaik pulih kembali rumah tradisional ini.
“Bahkan, saya sangat terharu dan gembira apabila generasi akan datang terutamanya waris keluarga Hajah Kundur akan dapat terus melihat keistimewaan seni bina dan sejarah rumah tradisional ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pembukaan Rumah Warisan Hajah Kundur di Kampung Kayu Ara, di sini, semalam.
Pak Jang berkata, sejak kecil lagi, mereka sekeluarga yang menetap di Temasek, Singapura, sering pulang ke Kampung Kayu Ara bagi menziarahi keluarga terutama moyangnya, Kundur.  
Bagaimanapun, pada 1967, apabila Malaysia berpisah dengan Singapura, mereka sekeluarga terus menetap di sini sehinggalah dia berkahwin dan berhijrah ke tempat lain pada 1981.
“Rumah ini rumah pusaka dan setelah ketiadaan moyang, hak milik rumah ini jatuh kepada wan saya, Khecik Bidin, kemudian jatuh kepada mak saya, Saamah Bulat, seterusnya kepada kakak saya, Nona A Bakar, yang merupakan satu-satunya anak perempuan.
Menurutnya, setelah kematian kakaknya pada 2011, hak milik rumah berkenaan jatuh pula kepada anak buahnya, Rosnah Ahmad, 29.
Pak Jang amat berharap agar pelajar dapat memanfaatkan peluang itu untuk mempelajari seni bina warisan Melayu lama seterusnya menerapkan elemen seni binanya dalam pembinaan bangunan baharu khususnya di Negeri Sembilan.
Kenal pasti 20 kediaman tradisional
Bagi Pengarah Projek Rumah Warisan Hajah Kundur, Dr Isham Shah Hassan, pihaknya telah mengenal pasti 20 kediaman tradisional di Negeri Sembilan melalui kerjasama Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains).
Beliau yang juga Penyelaras Kajian Alam Warisan Negeri Sembilan (Kawans) berkata, daripada jumlah tersebut, pihaknya telah menyenarai pendek dua kediaman untuk diteliti keunikan dan kelebihannya untuk dipindahkan ke Politeknik Port Dickson.
“Usaha kami ini mendapat sokongan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan kami memilih rumah Hajah Kundur memandangkan ciri-ciri istimewa rumah ini yang dipercayai mempamerkan ciri kediaman rumah golongan bangsawan.
“Di dalam rumah ini terdapat beberapa tiang gantung dan tiang yang dibina terkeluar dari papan. Malah, kediaman ini juga mempunyai tiang seri yang berukir.
Isham berkata, pihaknya termasuk pelajar telah membuat kajian terperinci bagi memudahkan kerja-kerja menanggalkan papan dan binaan untuk memudahkan pemasangan semula binaan di politeknik PD nanti.
“Kami harus berhati-hati kerana binaan rumah tradisional mempunyai 'timeline' yang harus difahami. Jadi, ada beberapa binaan yang kami tidak buka sepenuhnya dan kerja memindahkan rumah ini bakal mengambil masa seminggu.
IPT kedua pindah rumah tradisional
Sementara itu, Pengarah Politeknik Port Dickson, Mejar (K) Mohd Kharir Ibrahim berkata, Politeknik Port Dickson adalah institusi pengajian tinggi (IPT) kedua di negara ini yang memindahkan rumah tradisional ke pekarangan IPT.
Menurutnya, langkah berkenaan telah dilaksanakan oleh UPM dan kini, Unit Seni Bina Politeknik Port Dickson mengambil langkah berani memindahkan kediaman Melayu tradisional untuk dipulihara di Politeknik Port Dickson.
“Ini antara kecemerlangan Unit Seni Bina dan kami harap agar kecemerlangan ini akan dapat dikongsikan kepada pencinta dunia seni bina Melayu lama.
“Malah, di laman web rasmi kami juga di bawah Kawans, kami telah memuat naik 120 lakaran pelan bangunan tradisional berusia 60 tahun ke atas yang ada di negeri ini.
Kharir berkata, usaha warga Unit Seni Bina itu telah mendapat kerjasama daripada banyak pihak dan tidak kurang juga menarik perhatian tenaga pengajar profesional seni bina dari universiti luar negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: