Friday, October 23, 2015

Kayu terpakai beri rezeki lumayan



Kayu terpakai beri rezeki lumayan
Mohamed Amiruddin dan rakan kongsinya, Muhammad Adzim biasanya melakukan kerja bersama-sama bagi memastikan produk dihasilkan sentiasa mencapai kualiti dikehendaki
SIAPA sangka dengan berbekalkan kemahiran mengukir serta kayu-kayu terpakai, seorang belia mampu memperoleh pendapatan RM5,000 hingga RM6,000 setiap bulan.

Mohamed Amirudin Johari, 26, tidak pernah menyangka akan mengabdikan diri dalam bidang ukiran dan penghasilan produk kayu namun dia tidak pernah menyesal dengan pilihannya itu.

Dia kini mula mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya membuka bengkelnya sendiri di Kampung Padang Ampang, di sini, yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Menceritakan detik-detik awal pembabitannya dalam bidang tersebut, pemilik syarikat ‘The Kayu Syndicate’ ini memberitahu segalanya bermula apabila dia membantu ayahnya melakukan kerja-kerja kontrak.

Menurutnya, dari situ dia belajar sedikit demi sedikit sehingga mampu menghasilkan produk sendiri sebelum mengembangkannya menjadi perniagaan sendiri.

“Pada mulanya, saya membuat ukiran serta perabot sendiri secara seronok-seronok. Bila saya masukkan gambar dalam media sosial, rakan-rakan mencadangkan supaya saya menjualnya.

“Bila difikirkan balik, apa salahnya saya mencuba. Lagipun, membuat ukiran merupakan hobi saya. Bagus juga kalau hobi dijadikan punca pendapatan.

“Bermula dari media sosial, saya dan rakan kongsi mula serius menceburkan diri dalam bidang ini sehinggalah sekarang,” katanya ketika ditemui di bengkelnya, di sini, semalam.

Hargai alam semula jadi melalui ukiran

Mohamed Amirudin berkata, cintanya kepada seni ukiran serta alam semula jadi membuatkannya memilih bidang tersebut sebagai mata pencarian utamanya.

Menurutnya, ia merupakan salah satu cara dia menghargai keindahan alam selain menghasilkan produk-produk menarik yang sebelum ini mungkin tidak pernah terfikir dek akal manusia.

“Pasaran produk hiasan dalaman berasaskan kayu kini mendapat sambutan hangat. Ramai orang mahu rumah mereka dihiasi dengan kayu-kayan. Lebih buruk kayunya, lebih cantik hiasannya.

“Itu yang unik tentang hiasan kayu. Biasanya, saya akan mencari kayu di dalam hutan. Kayu dari pokok nangka pun boleh dijadikan perabot.

“Malah, akar kayu juga boleh dijadikan produk. Jika kita lihat dengan teliti, akar kayu mempunyai bentuk yang sangat unik dan apabila dijadikan hiasan, bentuknya memang menarik,” ujarnya.

Modal permulaan cabaran The Kayu Syndicate

Bila berbicara perihal perniagaan, pastinya cabaran sentiasa wujud dan The Kayu Syndicate juga tidak terlepas daripada berdepan masalah-masalah dan halangan.

Bagi Mohamed Amirudin dan rakan kongsinya, Muhammad Adzim Shafii, 24, cabaran terbesar bagi mereka adalah mendapatkan modal awal semasa mahu memulakan perniagaan.

Muhammad Adzim berkata, berbekalkan wang simpanan dan sedikit pinjaman bank, mereka akhirnya mampu membuka bengkel yang kini menjadi tempat mereka mencurahkan idea menghasilkan produk-produk baru.

“Selain modal, cabaran utama kami adalah memenuhi kehendak pelanggan kerana ada kalanya pelanggan meminta sesuatu yang sukar untuk dihasilkan.

“Namun, demi menjaga hati dan kepuasan pelanggan, kami akan cuba sedaya upaya mengikut hasrat pelanggan. Kadangkala, sakit kepala juga dibuatnya,” katanya.

Katanya, dia dan rakannya banyak mengambil rujukan daripada internet bagi memastikan mereka sentiasa mengeluarkan rekaan terkini dan unik.

Mereka perlu mengolah semula rekaan tersebut bagi menyesuaikannya dengan kehendak penduduk setempat yang lebih gemarkan elemen tradisional dengan sedikit sentuhan moden.

“Sebenarnya bukan kayu terpakai sahaja boleh dijadikan produk. Kain-kain buruk pun boleh dijadikan pasu dengan menggunakan cara-cara tertentu.

“Pokoknya, kita sendiri perlu kreatif dan berusaha sebaik mungkin. Janganlah mengeluh tiada kerja di Kuala Kangsar sedangkan banyak benda boleh mendatangkan wang. Antara mahu atau tidak sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: