Tuesday, October 20, 2015

Risiko 'main' Forex


Risiko 'main' Forex

DAGANGAN pertukaran asing (Forex) antara satu bentuk pelaburan yang dilakukan sesetengah individu.
Bagaimanapun, ia sangat berisiko kerana melibatkan mata wang asing yang berunsur ‘leverage’.

Disebabkan pulangannya yang tinggi, ada yang sanggup mengambil risiko bermain Forex biarpun tidak mempunyai ilmu berkaitan mata wang.

Ini kerana, dagangan Forex pada masa ini menyediakan platform untuk urus niaga secara dalam talian (online), tetapi tiada bimbingan.

Ia mendorong orang ramai untuk mengikuti kursus berbayar mempelajari teknik yang dikatakan berkesan dalam urus niaga Forex bagi mendapatkan keuntungan.

Secara tidak langsung, permintaan itu menyebabkan banyak kursus dan syarikat broker ‘scammer’ wujud untuk mengaut keuntungan.

Malah, dari segi hukum dalam Islam, urus niaga wang menerusi Forex yang dijalankan individu melalui broker online adalah tidak menepati syarak.

Jangan sertai pelaburan haram

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai pelaburan haram atau program latihan dagangan mata wang asing yang ditawarkan individu atau syarikat.

Peringatan itu pernah dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 4 Januari 2010 menerusi kenyataan media dan ia masih lagi terpakai sehingga kini.

Memetik kenyataan itu dalam laman web BNM, modus operandinya ialah menawarkan latihan, seminar, bengkel percuma untuk menarik pelabur, sebelum menjemput mereka mewujudkan akaun dagangan mata wang asing dengan sebuah syarikat utama
yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berdagang mata wang asing di luar negara.

Selain itu, pihak tidak bertanggungjawab itu juga menyediakan akses mudah kepada laman web dan kemudahan perdagangan syarikat induk bagi memudahkan perdagangan mata wang asing secara online oleh pelabur.

Di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA), menjadi satu kesalahan bagi seseorang untuk membeli atau menjual mata wang asing atau melakukan apa-apa perbuatan yang melibatkan, berhubung dengan, atau persediaan untuk, membeli atau menjual mata wang asing dengan mana-mana orang selain peniaga dibenarkan.

Adalah juga menjadi kesalahan bagi seseorang untuk membantu atau bersubahat dengan seseorang yang lain untuk membeli atau menjual mata wang asing dengan seseorang, kecuali individu itu adalah seorang peniaga yang dibenarkan.

Menerusi laman webnya, BNM menyenaraikan, hanya institusi perbankan sahaja yang boleh menjalankan dagangan pertukaran asing (Forex).

Dalam senarai ejen utama dan ejen pegangan Islam untuk tempoh 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016, terdapat 19 bank disenaraikan iaitu 12 ejen utama dan tujuh ejen utama pegangan Islam.

Ejen utama terlibat termasuklah AmBank (M) Berhad, CIMB Bank Berhad, Citibank Berhad, Hong Leong Bank Berhad, HSBC Bank Berhad, J.P.Morgan Chase Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, OCBC Bank (M) Berhad, Public Bank Berhad, RHB
Bank Berhad, Standard Chartered Bank Malaysia Berhad dan United Overseas Bank (M) Berhad.

Manakala bagi ejen utama pegangan Islam itu adalah Affin Islamic Bank Berhad, AmIslamic Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Hong Leong Islamic Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad dan RHB Islamic Bank Berhad.

Setakat 14 Oktober lalu, BNM turut menyenaraikan 55 syarikat yang dikenalpasti tidak diberikan kebenaran dan kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbirnya, berdasarkan maklumat yang diterima mereka.

Selidik dulu sebelum labur

Sebelum melakukan sebarang pelaburan, orang ramai diingatkan agar menyelidiki sebarang berkaitan tukaran mata wang bagi mengelak daripada menjadi mangsa.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, jika pelaburan dibuat menerusi syarikat, mereka perlu memastikan ia berlesen dan dibenarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Namun, jika dagangan pertukaran asing (Forex) dijalankan secara individu menerusi online, biasanya tiada lesen.

“Risikonya mereka perlu tanggung sendiri lebih-lebih lagi kalau tidak faham untuk berurus niaga sendiri secara online. Forex bersifat teknikal dan perlukan kemahiran. Di Malaysia, BNM tidak benarkan perniagaan mata wang secara individu, kerana itu mereka menggunakan platform online,” katanya.

Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan kursus-kursus yang dianjurkan pihak tertentu dengan mendakwa kononnya Forex itu sah dan patuh syariah.

“Istilah-istilah ini agak mengelirukan, sedangkan sesetengah syarikat atau individu itu tidak beroperasi secara sah.

“Apabila teknik yang dipelajari digunakan untuk berurus niaga dalam Forex, hasilnya pula tidak sama seperti diharapkan, malah rugi pula. Pihak yang tidak bertanggungjawab ini hanya mengaut keuntungan sahaja. Berhati-hati dengan pelaburan mata wang
Iraq,” katanya.

Ada pihak tidak bertanggungjawab menjual mata wang Iraq mengikut pakej dengan menyatakan duit Iraq akan menjadi tinggi nilainya apabila negara itu selesai berperang.

“Ketika ini, nilai mata wang Iraq rendah. Persoalannya, benarkah duit itu benar-benar mata wang Iraq atau duit palsu? Sampai bila perang Iraq akan selesai? Ia sangat meragukan, jadi berhati-hatilah,” katanya.

Forex online haram

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-98 memutuskan, perdagangan pertukaran mata wang asing (Forex) oleh individu secara lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana bercanggah dengan kehendak syarak dan tidak sah di sisi undang-undang negara.

Berdasar kajian terperinci dijalankan mendapati, perdagangan tersebut mengandungi unsur-unsur seperti riba melalui pengenaan 'rollover interest', pensyaratan jual beli dalam pemberian hutang melalui 'leverage', 'qabd' yang tidak jelas ketika transaksi pertukaran, penjualan mata wang yang tiada dalam pegangan dan spekulasi yang melibatkan perjudian.
  
Selain itu ia juga tidak sah dari sisi undang-undang Kerajaan Malaysia. Perkara itu dibincangkan dalam muzakarah yang bersidang pada 13 hingga 15 Februari 2012.

Keputusan itu bagaimanapun tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan yang dikendalikan institusi-institusi kewangan yang dilesenkan di bawah undang-undang Malaysia.

Justeru, umat Islam dilarang melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini.

Sanggup tanggung risiko sertai Forex
 BAgi Khairunnisa Ahmad, dia sanggup menanggung risiko melibatkan diri dalam Forex kerana ia sama dengan pelaburan lain seperti emas, hartanah dan saham.
"Walaupun risikonya lebih besar berbanding lain, saya sedia menghadapinya. Mana ada pelaburan tiada risiko. Saya pilih Forex kerana ia boleh dijadikan simpanan. Tambahan kos sara hidup semakin tinggi pada masa ini,” katanya.

Pedagang perlu mahir dan menguasai ilmu berkaitan bidang itu bagi meminimumkan risiko kerugian ketika menjalankan urus niaga supaya boleh mengaut keuntungan maksima.

Urus niaga dagangan Forex melibatkan aliran transaksi wang yang sentiasa berubah nilainya dan perlukan pemantauan rapi.

“Kalau terlepas pandang, memang boleh rugi banyak. Tanpa ilmu dan pengetahuan, sukar untuk kita uruskan dagangan tukaran mata wang kerana digalakkan menguruskannya sendiri.

"Nilai mata wang ada turun naik, jadi kalau ada pengetahuan mengenai mata wang dan isu semasa negara serta dunia, kuranglah risiko jika rugi,” katanya.

Tiada latar belakang dan pengetahuan dalam pelaburan Forex sebelum menyertai kelas, namun dia belajar daripada guru dan menerima bimbingan rakan-rakan kumpulan yang terlibat secara langsung.

“Modal permulaan RM20,975 (ASD5,000), Alhamdulillah saya boleh memperolehi purata antara RM12,585 (ASD3,000) hingga RM20,975 (ASD5,000) sebulan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: