Saturday, October 24, 2015

Dana masih belum cukup



Dana masih belum cukup
Kasah (kiri) bersama Nor Shamsul (tengah) menunjukkan masalah kebocoran yang dialami Masjid Jamek Felda Air Tawar 4.
KOTA TINGGI - Masjid Jamek Felda Air Tawar 4, di sini, memerlukan sumbangan daripada orang ramai bagi pembinaan masjid baharu kampung tersebut.
Ketua Kampung, Nor Shamsul Mohamed berkata, pembinaan masjid baharu itu membabitkan kos keseluruhan dianggarkan kira-kira RM2.5 juta yang mampu memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa.
Menurutnya, selain sudah uzur, masjid sedia ada hanya mampu memuatkan kira-kira 500 jemaah dan tidak dapat menampung kehadiran penduduk yang bertambah terutama apabila solat Jumaat dan solat Aidilfitri.
“Ekoran itu, pihak masjid telah mengambil inisiatif memasang balai di luar masjid agar jemaah dapat bersama-sama menunaikan solat. Kami juga telah membuat perbincangan dengan pihak Kadi dan Pejabat Agama Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan telah mendapat kelulusan serta sokongan daripada mereka untuk pembinaan baharu masjid di sini,” katanya.
Jelasnya, bagi menampung kos pembinaan itu, pihak Felda juga ada membuat pungutan daripada penduduk di kawasan tersebut membabitkan 500 peneroka di mana setiap seorang menyumbang sebanyak RM1,500.
Beliau berkata, di samping itu, penerokawati melalui Gerakan Persatuan Wanita (GPW) di kampung itu juga turut sama membuat pungutan sebanyak RM100 setiap ahli bagi membantu menambahkan dana pembinaan masjid tersebut.
“Pada masa sama, kami juga ada mengambil inisiatif membuat permohonan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk mencukupkan dana bagi pembinaan masjid tersebut. Hasil daripada sumbangan peneroka dan penerokawati sahaja memang tidak mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Masjid, Kasah Nasir berkata pihak masjid amat mengalu-alukan sumbangan daripada NGO, agensi kerajaan mahupun swasta atau individu yang mahu memberikan bantuan untuk menjayakan pembinaan masjid tersebut.
Menurutnya, masjid yang sudah berusia 36 tahun itu mengalami pelbagai kerosakan terutama apabila waktu hujan di mana jemaah berdepan masalah kebocoran sehingga mengganggu mereka yang sedang beribadah.
“Setiap kali hujan lebat, kami perlu menadah air yang menitis supaya lantai tidak basah. Sudah tiba masanya masjid ini dibina baharu agar jemaah yang datang dapat menunaikan  ibadah dengan lebih selesa.
“Tambahan pula di kawasan Felda lain kebanyakannya sudah membina masjid baharu. Insya-Allah masjid baharu yang bakal dibina nanti akan lengkap dengan kemudahan seperti ruang pejabat dan juga dewan,” katanya.
Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke dalam akaun Dana Wakaf Masjid Baharu Felda Air Tawar 4 melalui Bank Muamalat 0109-0000-2877-16.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: