Pelbagai jenis kuih menjadi pilihan pelanggan yang singgah ke Perhentian Kuih Kampong.
UJONG PASIR - Sebuah medan selera di sini dianggap unik apabila menjadi ‘Perhentian Kuih Kampong’ dengan menyediakan hidangan lebih 40 jenis kuih tradisional untuk dikunjungi sesiapa yang melancong ke negeri ini.
Diusahakan oleh Rahmah Hassan, 61, bersama ahli keluarganya, medan selera ini menyediakan pelbagai menu istimewa antaranya asam pedas dan popiah basah.
Menurut Rahmah, bagi memastikan kuih yang dijual dapat dihidang untuk sarapan pagi dan minum petang, dia menyediakan hidangan berkenaan seawal jam 5 pagi pada setiap hari dengan bantuan anaknya di rumah mereka di Kampung Pulau Gadong.
Katanya, dia menyediakan pelbagai kuih tradisional membabitkan jenis utama iaitu bingka dan talam yang kebanyakannya dimasak secara kukus.
“Kuih talam dimasak dalam loyang besar saja ada 12 jenis iaitu seri kaya, seri muka, talam pandan, talam merah, talam ubi, talam keladi, talam keladi berlauk, talam sagu, talam sagu merah kukus, lapis, genggang dan tepung talam.
“Bagi kuih bingka pula ada 10 jenis iaitu ubi, pandan, bakar, pulut, jagung, beras, labu, roti, tepung dan keledek,” katanya kepada Sinar Harian.
Rahmah berkata, antara kuih lain yang lazim dijual ialah pelbagai jenis karipap, donat, keria, pulut panggang, lepat ubi dan pisang, lopes, pau, popiah kukus, pelbagai kuih apam, kuih koci, kuih dadar, kuih cara, kuih ku dan buah Melaka.
Katanya, istimewa tempat berkenaan ialah hidangan kuih tradisional yang dijual dengan pelbagai pilihan yang tiada di tempat lain dan menjadikan premisnya sebagai tempat unik untuk dikunjungi.
“Selain fokus sarapan pagi dan minum petang, kami juga turut sedia hidangan untuk makan tengah hari dengan menu istimewa asam pedas dengan pelbagai pilihan ikan dan lauk sampingan.
“Kami jadikan perniagaan makanan ini beridentitikan Melaka.. secara kebetulan lokasi kami terletak di pintu masuk ke kawasan pelancongan di Bandar Hilir,” katanya.
Beliau berkata, kuih dijual dengan harga RM1 bagi sekeping kuih talam dan bingka yang dipotong dan 40 sen bagi jenis kuih lain, manakala RM1 bagi setiap keping kuih yang mempunyai inti daging dan sebagainya.
Beliau yang berniaga sejak 37 tahun lalu mula menumpukan perniagaan pelbagai kuih tradisional selepas membina premis kekal di kawasan Ujong Pasir pada pertengahan 90-an.
“Saya bermula dengan perniagaan makanan menggunakan kereta tolak, ketika itu saya berusia belasan tahun dan kemudian meneruskan perniagaan itu sebagai kerjaya sehinggalah membuka medan selera.
“Perniagaan kuih mendapat sambutan selepas suatu ketika dulu saya melihat ketika bulan puasa permintaannya tinggi dan saya terus mencuba sehinggalah hari ini,” katanya yang kini banyak dibantu anaknya, Baktiar Mohd Ali Kamal, 37.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: