
Individu tidak yang dikenal pasti berlegar dalam masjid ketika jemaah menunaikan sembahyang Zohor kelmarin.
SUNGAI PETANI - Seorang wanita kerugian RM800 apabila beg yang dibawa semasa menunaikan solat Zohor di Masjid Padang Temusu dicuri dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, kejadian disedari apabila mangsa, seorang wanita berusia 43 tahun selesai solat di masjid berkenaan.
Menurutnya, sebaik selesai solat di ruang wanita, mangsa mendapati beg galas miliknya yang diletakkan di hadapan saf sudah tiada.
"Mangsa kemudiannya mencari di merata tempat. Ketika itu, hanya mangsa seorang diri berada di saf wanita.
“Semasa mencari, mangsa menjumpai beg terbabit ditinggalkan di belakang saf tetapi selepas diperiksa, dompet milik suaminya dan telefon pintar hilang,” katanya.
Menurut Md Zukir, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan menunjukkan kelibat seorang remaja lelaki tidak dikenali sedang berlegar semasa jemaah lelaki sedang menunaikan solat Zohor.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.
Beliau menjelaskan, pihaknya sedang mengesan suspek menerusi paparan imej CCTV dari masjid berkenaan.
"Kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya segera tampil membantu menyalurkan maklumat kepada pihak polis," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: