
Suspek diikat menggunakan wayar oleh penduduk sebelum diserahkan kepada polis.
LEDANG - “Kami mahu cari biawak”. Itu alasan dua penyamun yang tertangkap ketika memecah masuk sebuah rumah di kampung Kampung Parit Zing, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kegiatan dua lelaki berusia lingkungan 30an berkenaan disedari penduduk, sebelum berjaya ditangkap dan diikat menggunakan wayar.
Penduduk yang enggan dikenali berkata, ada penduduk terlihat kelibat suspek berlegar di kawasan luar pagar rumah mangsa sambil membawa periuk besar.
Katanya, apabila tertangkap, suspek memberikan alasan sedang mencari biawak sedangkan mereka berada di dalam rumah mangsa ketika diserbu.
“Kami juga jumpa beberapa kesan mencurigakan dekat rumah ini seperti pagar tepi rumah dah dipotong, begitu juga dengan elektriknya,” katanya.
Katanya, pada hari kejadian, lebih 20 penduduk kampung mengepung rumah mangsa setelah mengesan suspek berada dalam rumah berkenaan.
“Mereka terkejut bila nampak kami dan cuba lari, tapi kami dapat tangkap dan ikat mereka sementara tunggu polis datang," katanya.
Menurutnya, beberapa alat penghawa dingin dan barangan lain termasuk periuk besar dalam rumah tersebut didapati hilang dipercayai akibat perbuatan suspek.
Tambahnya, kedua-dua suspek turut merayu agar mereka dilepaskan dan diselesaikan secara baik tanpa melibatkan pihak polis.
"Tapi alasan mereka nak tangkap biawak langsung tak masuk akal. Sebab itu kami tak peduli.
“Sebelum ini banyak kes kecurian berlaku di sini. Selalunya rumah tak ada orang jadi sasaran. Sejak itu, kami semua waspada dengan orang tak kenal dan mencurigakan.
“Mungkin mereka ini orang yang sama mencuri sebelum ini. Saya harap tak ada lagi insiden sama berulang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan suspek ditahan reman untuk membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: