Sunday, October 18, 2015

‘Selagi kudrat saya masih ada’



‘Selagi kudrat saya masih ada’
Borhanuddin mementingkan ciri-ciri keselamatan ketika mengayuh basikalnya.
SERI MANJUNG - Keunikan basikalnya pasti membuat sesiapa saja akan menoleh.

Empat baris ayat: BORHANUDDIN ALIAS, JAMES BORN 770 AN, SAYA MASIH BUJANG KENAPA TAK PERCAYA, menambah istimewa basikal yang sering dikayuh.

Seawal 9 pagi, Borhanuddin Alias, 69, sudah sedia keluar bersama basikal yang dihias mengikut kreativiti tersendiri untuk menziarah dan membersihkan pusara ibu bapa, ahli keluarga serta rakan-rakannya.

Basikal itu juga mempunyai nombor plat seperti kenderaan lain, JB770 AN punyai maksud tersendiri.

“Saya suka baca novel terutama novel perisikan dan dari situlah ia terhasil. Saya letak nombor plat JB bermaksud James Bonds, 770 adalah nombor ejen James Bonds dan AN adalah singkatan panggilan nama saya.

“Saya memang suka kayuh dan hias basikal mengikut kreativiti sendiri supaya kelihatan cantik serta lain daripada lain,” katanya.

Katanya, ketika mengayuh basikal, dia juga amat mementingkan keselamatan termasuklah memakai topi keledar.
“Basikal saya juga mempunyai hon supaya senang dibunyikan ketika kecemasan atau untuk orang lain ketika di jalan raya.

“Kenderaan lain juga selalu memberi laluan kepada saya kerana mereka sudah mengenali saya terutama penduduk di daerah Manjung,” katanya yang pernah mengayuh basikal sehingga ke Teluk Intan, Ayer Tawar, Beruas, Ipoh.

Menurut Borhanuddin, disebabkan keghairahannya menghias basikal, ada yang menggelarnya kurang siuman namun dia  tidak berkecil hati dan menganggapnya sebagai gurauan sahaja.

Borhanuddin berkata, dia akan terus mengayuh basikal selagi kudratnya masih ada.

“Ini memang minat saya sejak kecil. Memang kadang-kala penat namun saya akan terus mengayuh basikal.

“Penglihatan saya sebenarnya sudah semakin kabur namun ini adalah hobi saya jadi saya akan terus mengayuh selagi kudrat masih ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: