Thursday, October 1, 2015
Wajah baru Astro Bella
MULAI 1 Oktober ini, Astro Bella akan tampil dengan wajah baru demi memenuhi kehendak pelanggan dan bergerak seiring dengan peredaran masa.
Astro Bella yang bersiaran di saluran 133 telah dilancarkan pada bulan Mac 2012 dan merupakan salah satu saluran Astro memberi keutamaan kepada rancangan berbentuk telenovela dan drama-drama berunsur melodramatik.
Kini selepas lebih dari tiga tahun bersiaran, Astro Bella menyuntik nafas baharu dengan memperkenalkan empat slot terkini yang berunsurkan gaya hidup seperti Suudu, Micasa, Sihat dan Pasport.
Suudu merupakan seleksi program-program masakan terbaik dari seluruh dunia (bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 pagi), Micasa pula seleksi program dekorasi terbaik dari seluruh dunia (setiap Isnin hingga Jumaat jam 10 pagi), Sihat pula seleksi program kesihatan dan kecergasan terbaik seluruh dunia (setiap Isnin hingga Jumaat jam 5 petang) dan Pasport merupakan seleksi program travelog terbaik seluruh dunia (setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang).
Pengurus Salurannya, Natasha Hashim berkata, rancangan yang disiarkan di saluran Astro Bella perlu diperbaharui dan dikemaskan dari tahun ke tahun untuk memastikan konsep dan imej sesebuah rancangan itu terus berkembang, segar serta lebih mantap.
“Pengenalan empat slot baharu ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek penting terutamanya dari segi memenuhi kehendak penonton yang hari ini rata-rata mementingkan kandungan editorial yang mantap, kekuatan visual dan montaj, interaktif sosial dan keunikan sesebuah rancangan.
“Slot-slot baharu ini bakal menawarkan pilihan yang lebih pelbagai kepada penonton sebagai tambahan kepada siri-siri telenovela sedia ada.
“Kami yakin dengan wajah dan imej baharu ini, ia akan menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan wanita yang berumur 25 tahun ke atas yang menyukai cabaran dan aktiviti percutian, mengamalkan gaya hidup sihat, gemar memasak dan minat mendekorasi untuk menontonnya.
“Astro Bella yang berwajah baru ini merupakan saluran pertama di Malaysia yang memberi tumpuan khusus kepada gaya hidup terkini khas untuk wanita,” katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Wajah Baru Astro Bella baru-baru ini.
Pada majlis sama turut dilancarkan program Astro Bella Jom Kurus Cabaran 30 Hari, sebuah program realiti yang mengetengahkan gaya hidup sihat dan bakal menyaksikan peserta menyahut cabaran mengurangkan berat badan dalam masa 30 hari.
Menurut Natasha, rancangan tersebut bakal bersiaran pada setiap hari Ahad mulai 4 Oktober ini jam 7 malam yang menampilkan Cikgu Fitnes Malaysia, Kevin Zahri dan selebriti, Sharifah Sakinah sebagai pengacaranya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: