Thursday, October 1, 2015

Polis Evo tampil lakonan mantap Zizan & Shahiezy


Polis Evo tampil lakonan mantap Zizan & Shahiezy

DI sebalik kejayaan Polis Evo, selain pengarah, pastinya teraju utama memainkan peranan besar.

Pertama kali digandingkan, siapa sangka kombinasi mantap pelawak dan juga pelakon terkenal ini menjadi dan telah mendapat pujian ramai daripada penonton yang menyaksikan filem itu.

Bahkan rata-rata penonton menyifatkan lakonan Zizan Razak bersama Shahiezy Sam menerusi Polis Evo sangat berjaya dan berbeza daripada mana-mana filem lakonan mereka sebelum ini.

Bercakap mengenai kejayaan filem itu, Zizan yang membawakan peranan sebagai Inspektor Sani memberitahu, dia sangat bersyukur dengan kutipan yang membanggakan itu.

Ujarnya, dia tidak menyangka hanya dalam masa beberapa hari ia telah 'meletop' sehingga ada yang sanggup menonton filem itu berulang kali.

"Alhamdulillah, usaha yang kami lakukan telah berhasil. Kami telah memberikan 100 peratus untuk memastikan filem ini berhasil di mata penonton.

"Bahkan filem ini juga membuktikan masih ada karya-karya kita yang hebat dan di luar jangkaan," katanya kepada Zass.

Tambah pelakon kelahiran Terengganu ini, dia cukup berbangga apabila sisi seriusnya menonjol dalam filem itu.

"Jika sebelum ini saya hanya dikenali dengan watak komedi, tetapi filem ini menyerlahkan sisi lain sepanjang saya bergelar pelakon. Bagi saya ia sudah cukup memuaskan hati walaupun sebagai pelakon," katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Sam, kata Zizan, ia merupakan pengalaman yang hebat baginya.

"Apa yang boleh saya katakan, dia seorang yang tidak lokek ilmu. Dia banyak membantu saya menghasilkan lakonan yang lebih baik. Malah, sebenarnya sangat senang bekerja dengannya kerana kami saling bertolak ansur dan sama-sama belajar menjadi yang terbaik," katanya turut memuji pengarah, Ghaz Abu Bakar, yang disifatkan seorang yang sangat profesional dalam menghasilkan filem aksi seumpama itu.

Aksi lagak ngeri berbaloi- Sam

Sementara itu, bagi Sam pula, kejayaan tersebut membuatkan dirinya berasa     sangat lega.

"Filem Polis Evo telah dibikin dengan bersungguh-sungguh, yang mana daripada aspek plot, skrip, pencahayaan, kesan bunyi dan kesan-kesan khas semuanya sangat cantik dan hebat.

"Jika filem ini masih tidak berjaya menarik perhatian penonton, nampaknya industri filem terpaksa dibubarkan.

"Sebaliknya, dengan kejayaan ini, saya dan penggiat seni khususnya pembikin filem masih mempunyai masa hadapan untuk industri ini," katanya Polis Evo dianggap sebagai kayu pengukur bagi industri filem Malaysia kini.

Selain itu, Sam mengakui pengorbanannya dengan melakukan hampir 80 peratus aksi lagak ngeri dan sanggup kerja keras demi mendapatkan badan sasa menerusi filem itu dianggap berbaloi.

"Apabila melihat kepada kejayaan filem ini memang saya berasa penat lelah dan usaha yang dilakukan sepanjang penglibatan dengan filem ini telah dibayar.

"Apatah lagi sebagai salah seorang pelakon utama, penonton mempunyai harapan yang tinggi kepada saya. Jadi, dengan pujian-pujian yang diberikan mereka saya berasa sungguh gembira," katanya.

Pada masa sama, pelakon yang membawa watak sebagai Inspektor Khai itu juga berpuas hati apabila membuat keputusan tepat terlibat dalam filem itu.

"Jika dahulu saya hanya terima pelbagai filem yang ditawarkan, tetapi sekarang saya lebih selektif. Mungkin dahulu saya lebih memikirkan aspek kewangan sahaja, tetapi tiada kepuasan dalam lakonan.

"Kerana itu, saya mengambil keputusan untuk memilih dan Alhamdulillah, akhirnya sikap selektif ini membuahkan kejayaan. Kerana itu, saya bekerja kuat demi filem ini," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama bersama Zizan pula, akui Sam, tidak sukar untuknya bekerja dengan pelawak itu.

"Walaupun ada beberapa babak yang terpaksa dilakukan beberapa kali, tetapi saya seronok kerana hilang 'stress' apabila bersama Zizan," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: