
Nik Ahmad Zuhdi (berdiri) membuat tinjauan sesi pembelajaran kelas al-Quran braille di SBM Jelawat, Bachok.
JELAWAT – Sekumpulan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan berharap kelas al-Quran braille yang diikuti sejak Julai lalu diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada mereka.
Setiausaha Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan, Mohd Nazri Nawi berkata, Pertis sudah lama merancang kelas al-Quran sedemikian namun terhalang oleh kekangan kewangan.
Menurutnya, penyaluran dana oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membolehkan kelas berkenaan direalisasikan dan ia sememangnya dinantikan oleh OKU cacat penglihatan.
"Kelas al-Quran braille ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli Pertis setiap pagi Ahad, Isnin dan Selasa. Seramai 30 ahli terpilih menyertai kelas ini.
"Kami amat berterima kasih kepada Maik yang menyalurkan dana untuk mengadakan kelas al-Quran braille pertama di Kelantan," katanya ketika ditemui semasa lawatan Pegawai Agama Islam Jajahan Bachok, Nik Ahmad Zuhdi Nik Yaacob ke dewan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Kelantan di Jelawat, di sini.
Tambahnya, berbeza dengan Kelantan, kelas al-Quran braille telah lama diadakan di Terengganu dan beliau harap lebih banyak pihak menyalurkan sumbangan bagi memastikan kelas berkenaan dapat diteruskan kerana masih ramai tidak berkesempatan mengikutinya.
Sementara itu, Nik Ahmad Zuhdi ketika ditemui memaklumkan, idea mengadakan kelas al-Quran braille dicetuskan oleh Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan berada di bawah seliaan Pejabat Agama Jajahan Bachok.
Katanya, Tengku Muhammad Rizam turut berkenan menyampaikan sumbangan al-Quran braille kepada OKU cacat penglihatan di Bachok pada April lalu bagi memudahkan mereka mengikuti kelas berkenaan.
"Kelas al-Quran braille ini dikendalikan oleh enam fasilitator dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan dipecahkan kepada tiga tahap, iaitu tidak pernah belajar tulisan braille, tahu sedikit asas tulisan braille dan sudah boleh membaca tulisan braille," katanya.
Manakala Rohayah Mat Nor, 57, berkata, anaknya, Norhayati Che Hassan, 26, yang cacat penglihatan sejak berusia 16 tahun sangat teruja apabila dapat mengikuti kelas al-Quran braille itu.
Rohayah memberitahu, Norhayati terpaksa berhenti belajar di sebuah sekolah agama ketika baru tingkatan tiga kerana menghidap sakit kepala kronik sehingga menyebabkan dia hilang penglihatan.
"Norhayati juga pernah diserang sakit lumpuh suatu ketika dulu, tetapi alhamdulillah, dia sembuh setelah kami ikhtiarkan berubat cara kampung. Saya sanggup bersara awal untuk beri perhatian kepada Norhayati.
"Saya amat teruja bila dapat tahu ada kelas al-Quran braille dan Norhayati juga minat untuk belajar. Saya rasa kelas ini perlu diteruskan sepanjang masa kerana tempoh tiga bulan tidak mencukupi, tambahan kepada mereka yang baru mengenali tulisan braille.
"Tak ada kelas al-Quran braille lain di Kelantan melainkan kelas ini. Untuk ikuti kelas di luar Kelantan, kami tak mampu keraja jaraknya terlalu jauh," katanya yang sanggup berulang-alik tiga hari seminggu ke Bachok dari rumahnya di Telipot, Kota Bharu untuk membawa Norhayati ke kelas tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: