PASIR MAS - Kebakaran pondok kediaman pelajar di Madrasah Ad-Diniah Yusufiah, Gelang Mas, di sini, pada Isnin lalu, turut mendapat perhatian Kumpulan Media Karangkraf yang tampil menghulurkan bantuan.
Timbalan Pengerusinya, Muhammad Nasir Hamzah berkata, kemusnahan yang melibatkan 48 buah pondok tersebut sangat menyedihkan sehingga menyebabkan 60 pelajarnya hilang tempat berlindung.
“Walaupun sumbangan yang kami hulurkan ini tidak seberapa tetapi ia diharap dapat meringankan beban pihak pondok.
“Saya berharap orang ramai dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan bagi memastikan pelajar-pelajar terbabit mendapat pondok baharu dan meneruskan pengajian seperti biasa,” katanya.
Hadir sama pada kunjungan ke pondok tersebut ialah, Pengurus Besar Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.
Turut hadir adalah rombongan ahli jawatankuasa Masjid Kasar yang diketuai Imam Dua, Mohd Harith Khairi. menyampaikan sumbangan hasil kutipan oleh jemaah masjid berkenaan.
Tidak ketinggalan menyumbang ialah Pemuda Pas Kawasan Tumpat diwakili Pemangku Ketua Pemuda Pas Kawasan Tumpat, Mohd Hushaimi Hussian.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam 03027010048338 di atas nama Madrasah Ad-Diniah Yusufiah.