
Azran (dua, kiri) merasmikan salun kecantikan Nanie Beauty & Spa di Binjai, semalam.
KOTA BHARU - Usahawan di Kelantan digesa menambah ilmu perniagaan dengan menghadiri kursus anjuran agensi tertentu, menaik taraf produk serta servis kepada pelanggan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Kelantan, Azran Deraman berkata, usahawan perlu menanam sikap bertahan dan sabar untuk terus mencipta kejayaan dalam perniagaan bukan sahaja dalam negara malah ke ke peringkat antarabangsa.
“Bukan mudah menjadi usahawan wanita kerana bidang ini banyak cabaran dan liku perlu dilalui, malah semangat juga perlu kental, jadi ilmu mengenai berniaga perlulah luas.
“Pelbagai kaedah boleh dilakukan dalam mengembangkan ilmu ini termasuk sentiasa menghadiri kursus anjuran mana-mana agensi kerajaan dan swasta.
“Ilmu dalam bidang kewangan, kakitangan yang cekap menjalankan kerja, pembuatan produk yang mampu menarik pelanggan dan memberi servis baik kepada pelanggan mampu membolehkan perniagaan terus bertahan dan berkembang,” katanya ketika merasmikan Ulang tahun ke-10 Pusat Salun Kecantikan, Nanie Beauty & Spa di Binjai, semalam.
Turut meraikan kehadiran Azran, pemilik Nani’s Beauty & Spa, Rosnani Seman dan menampilkan kehadiran artis, Sheera Iskandar dan Fendi Kenali.
Azran berkata, kebanyakan usahawan juga lupa mengenai servis iaitu layanan yang baik kepada pelanggan boleh menarik hati mereka untuk terus berurusan dengan syarikat berkenaan.
“Semasa perniagaan berlangsung, biarlah pelanggan rasa dialu-alukan dan dihargai, sebab itulah ilmu perniagaan perlu terus dibina dari semasa ke semasa supaya kita lebih mengenali sikap serta pandai berkomunikasi dengan pelanggan.
“Dalam perniagaan, yang pasti ada adalah persaingan dan biarlah ia persaingan sihat supaya apa yang diniagakan mendapat berkat dan berkembang dalam keadaan positif,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: