Wednesday, October 7, 2015

Perlu sumbangan untuk rawatan



Perlu sumbangan untuk rawatan
Perut Tun Raisha Afrina membengkak dalam keadaan luar biasa dan ia merunsingkan Tuan Saripah Norshahirah.
GONG BADAK – Melihat anak kesayangan terpaksa bergelut dengan penyakit pada usia yang masih kecil pasti menyebabkan hati si ibu sentiasa dirundung kesedihan, apatah lagi jika anak itu merupakan satu-satunya cahaya mata dalam sesebuah keluarga.
Begitulah situasi terpaksa dilalui Tuan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim, 21, apabila anak tunggalnya, Tun Raisha Afrina Tun Mohd Yazid, 11 bulan, disahkan menghidap penyakit Biliary Atresia, iaitu sejenis penyakit yang mana didapati tidak wujud sistem hempedu luar.
Menurut Tuan Saripah Norshahirah, anaknya disahkan menghidap penyakit berkenaan setelah mengalami demam kuning berpanjangan sejak lahir dan selepas pemeriksaan di hospital, doktor memaklumkan Tun Raisha Afrina perlu menjalani pembedahan segera.
"Saya betul-betul terkejut ketika itu dan tak dapat terima hakikat anak saya perlu dibedah. Tun Raisha Afrina menjalani pembedahan pada usianya 55 hari kerana disyaki ada masalah di bahagian hempedu.
"Kini keadaan anak saya semakin teruk dengan perutnya membengkak dalam keadaan luar biasa," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Perumahan Gong Badak, di sini.
Tuan Saripah Norshahirah berkata, ketika ini dia sekeluarga masih menunggu tarikh untuk bertemu pakar di sebuah hospital di Kuala Lumpur, namun tidak diketahui berapa lama Tun Raisha Afrina dapat bertahan.
Tambahnya, sejak gambar Tun Raisha Afrina diviralkan oleh Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), dia berpeluang untuk berkongsi pengalaman dengan beberapa ibu bapa yang turut menghidap penyakit sama.
"Kami masih menunggu sumbangan derma daripada orang ramai bagi membolehkan anak saya dibedah. Kos yang diperlukan dianggarkan RM160,000 dan saya berterima kasih kepada KELSS kerana banyak bantu kami," katanya.
Selain itu, Tuan Saripah Norshahirah memaklumkan, keluarganya turut mendapat bantuan perubatan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu  Terengganu (Maidam) dan menteri besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman turut berkunjung ke rumahnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan ikhlas boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB (7616016942) dan Bank Rakyat (221161095105) atas nama Tuan Saripah Norshahirah Tuan Ibrahim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: