Wednesday, October 7, 2015

Lumpuh selepas terima suntikan



Lumpuh selepas terima suntikan
Siti Hawa menerima kerusi roda yang disampaikan Mohd Johari dengan tujuan meringankan bebannya untuk mengurus pergerakan anak perempuannya yang lumpuh seluruh badan akibar sakit saraf.
ROMPIN – Keadaan seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU), Siti Nur Aqilah Juraimi, empat tahun, yang menghidapi penyakit saraf sejak berusia dua bulan menyebabkannya tidak mampu bergerak dan memerlukan penjagaan rapi kedua ibu bapanya.
Ibunya, Siti Hawa Mat Said, 23, berkata, anaknya dilahirkan normal namun selepas menerima suntikan tiga serangkai, pada sebelah malam selepas itu segalanya berubah apabila dia mengalami demam panas seterusnya diserang sawan yang menjadi punca kepada keadaannya sekarang.
“Dia disahkan menghidapi sakit saraf dan lumpuh seluruh badan. Memang dia tidak boleh bergerak langsung. Dia hanya terlantar di rumah dengan keadaan fizikalnya yang sangat kurus, berbeza sangat dengan kanak-kanak yang seusia dengan dia,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditemui selepas penyerahan kerusi roda oleh Adun Tioman, Datuk Mohd Johari Hussain yang turut disertai Pengerusi Persatuan Farmasi Malaysia Negeri Pahang, Abdul Aziz Jamaludin, selepas permohonannya untuk mendapatkan kerusi roda berkenaan diluluskan.
Menurutnya, anak kedua daripada dua beradik itu lebih banyak diuruskan olehnya kerana suaminya bekerja di Kluang, Johor dan akan balik pada hujung minggu.
"Tapi kadang-kala suami terpaksa juga balik pada hari biasa kalau Siti Nur Aqilah perlu dibawa ke klinik atau sebagainya," katanya.
Sementara itu, Mohd Johari yang ditemui turut menzahirkan simpatinya kepada kanak-kanak berkenaan dan berharap sumbangan kerusi roda tersebut dapat meringankan beban kedua ibu bapanya selain memberi keselesaan kepada kanak-kanak itu untuk keluar bersiar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: