
Mat Razi (kiri) bersama Mohd Zain (dua, dari kiri) dan Yusof (belakang) melihat serangan cengkeram melekat di jaring sangkar.
TUMPAT - Persatuan Penternak Ikan Laguna Sri Tujoh menyerahkan memorandum kepada kerajaan persekutuan, agar masalah Kuala Tujoh yang tertutup, dapat ditangani segera kerana sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Memorandum itu diserahkan kepada Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail ketika perjumpaan penternak ikan siakap di Laguna Sri Tujoh bersama pemimpin berkenaan di sangkar ikan siakap Kampung Jubakar Pantai di sini.
Pengerusi persatuan berkenaan, Yusof Che Mamat berkata, ada dua masalah yang menghantui penternak ikan siakap di Laguna Sri Tujoh iaitu masalah Kuala Tujoh yang tertutup dan air di lagun yang cetek.
Menurutnya, jika masalah itu tidak diselesaikan, ia boleh menyebabkan ikan mati kerana kekurangan oksigen, air tercemar dan penternak akan menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.
“Di sini adalah kawasan terbesar di negeri ini sebagai kawasan kekal pengeluaran makanan negara.
“Dalam setahun, sebanyak 120 hingga 180 tan ikan siakap untuk dibekalkan ke seluruh negara dan luar negara termasuk Singapura dan Thailand,” katanya.
Paling merisaukan, Yusof berkata, projek kluster bernilai RM1.5 juta yang akan dilaksanakan di Lagun Sri Tujoh hujung tahun ini, bagi meningkatkan pendapatan nelayan di kawasan berkenaan menjadi projek gajah putih disebabkan masalah itu.
“Sebelum usahakan projek kluster di bawah Jabatan Perikanan ini, masalah Kuala Tujoh tertutup dan lagun cetek perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kuala yang tertutup itu perlu digali segera, lagun yang cetek perlu didalamkan, kalau tidak ia akan memberi impak kepada projek kluster itu,” katanya.
Projek kluster itu akan dibekalkan dengan kemudahan fasiliti seperti 100 petak sangkar, benih ikan dan makanan ikan merupakan projek kedua dilaksanakan di negara selepas di Teriang, Pahang.
Sementara itu, Mat Razi berjanji akan menyerahkan memorandum itu untuk tindakan pihak atasan bagi mencari penyelesaian masalah tersebut.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Mohd Zain Saad.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: