
Pegawai Perubatan membantu Rajeswary menggunakan alat bantuan penafasan di zon kecemasan HTJ, semalam.
SEREMBAN - Kualiti udara yang semakin merosot akibat jerebu menyebabkan orang ramai mengalami masalah kesihatan pernafasan dan asma.
Tinjauan Sinar Harian di bilik bantuan pernafasan di zon kecemasan Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, semalam mendapati rata-rata pesakit mendapatkan bantuan pernafasan selepas mengalami sesak nafas sejak beberapa hari lalu.
Salah seorang pesakit, Mohd Fauzey Abdul Rahman, 30, berkata, dia menghidap penyakit asma sejak berusia 12 tahun.
Bagaimanapun, sejak jerebu tahap kesihatannya semakin merudum dan terpaksa mengambil bantuan pernafasan atau inhaler setiap hari.
“Sebelum masalah jerebu, saya jarang mengalami asma tetapi sejak masalah jerebu melanda negara, saya terpaksa menggunakan inhaler.
“Tetapi hari ini (semalam), saya terpaksa ke hospital kerana berasa sakit dada dan sukar bernafas. Jadi, saya terpaksa mengambil bantuan pernafasan di sini,” katanya.
Mohd Fauzey yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di sini, berkata, dia berhadapan udara kotor setiap hari kerana berjalan kaki sejauh 200 meter ke tempat kerjanya.
“Selepas ini saya perlu memakai topeng muka bagi mengelak masalah kesihatan saya semakin teruk,” katanya.
Bagi pesakit, B.Rajeswary, 57, berkata, dia mengalami masalah kesihatan seperti sakit dada, batuk dan sesak nafas sejak tiga hari lalu.
“Sebelum ini saya masih boleh bertahan tetapi hari ini (semalam) saya berasa sesak nafas dan terpaksa ke hospital untuk mendapatkan bantuan pernafasan.
“Ini kali pertama saya ke hospital untuk dapatkan bantuan pernafasan kerana sebelum ini saya sudah lama tidak kena asma, tetapi semakin teruk sejak beberapa hari lalu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: