Sajith ketika memberi taklimat mengenai Barometer Pengguna 2015, kelmarin.
SYARIKAT atau pemasar perlu bergerak lebih pantas dan menyampaikan maklumat berguna mengenai perkhidmatan atau produk yang ditawarkan bagi mengukuhkan jenamanya di pasaran memandangkan pengguna pada hari ini lebih aktif menggunakan internet sebelum membuat pembelian.
Pengarah Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu, Sajith Sivanandan berkata, berdasarkan Barometer Pengguna 2015, pencarian maklumat mengenai produk antara lima aktiviti utama yang menjadi pilihan pengguna telefon pintar, iaitu mewakili 58 peratus.
“Berdasarkan kajian itu, 30 peratus masyarakat Malaysia membeli produk secara atas talian (online), manakala 58 peratus lagi membeli belah sama ada di kiosk, pejabat, agensi mahupun kedai.
“Kajian itu juga mendapati, sebanyak 51 peratus rakyat Malaysia melakukan pencarian di internet, tetapi membeli di luar, manakala 48 peratus masyarakat di negara ini bergantung kepada sumber dalam talian sebagai sumber pertama kesedaran produk semasa penyelidikan pra-pembelian,” katanya ketika taklimat Barometer Pengguna 2015 bersama media di Kuala Lumpur, kelmarin.
Sajith berkata, Malaysia menjadi negara kedua dalam ‘multi-screening’ dengan data menunjukkan 91 peratus pengguna menggunakan telefon pintarnya ketika sedang menonton televisyen.
“Sejumlah 36 peratus rakyat Malaysia menggunakan telefon pintar masing-masing untuk akses internet,” katanya.
Menurutnya, barometer pengguna merupakan alat untuk membantu pemasar memahami bagaimana orang ramai menggunakan internet di seluruh dunia.
“Dengan memahami apa yang dimahukan pengguna, sesebuah perniagaan itu perlu memastikan maklumat yang diberikan adalah tepat dan disediakan di dalam laman sesawang syarikat untuk memudahkan pengguna merujuknya,” katanya.
Berdasarkan kajian itu, 93 peratus pengguna telefon pintar di Malaysia terdiri daripada mereka yang berusia bawah 25 tahun, 87 peratus (25 hingga 34 tahun), 77 peratus (35 hingga 44 tahun), 48 peratus (45 hingga 54 tahun) dan 33 peratus (55 tahun ke atas).
Kajian barometer pengguna itu dijalankan oleh TNS Infratest bagi pihak Google yang melibatkan lebih 50 buah negara dengan 400,000 tinjauan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: