Permodalan Nasional Bhd
PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.40 sen seunit bagi Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2015.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, jumlah agihan itu agak rendah berikutan pasaran saham yang tidak menentu berbanding masa lalu.
“Bagaimanapun, jumlah itu masih kompetitif dan tidak terlalu rendah kerana tahun pertama AS1M jumlah agihan pendapatan adalah 6.38 sen.
“Kadar pengagihan pendapatan ini berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan,” katanya selepas pengumuman agihan pendapatan AS1M di Kuala Lumpur, semalam.
Tahun lalu, kadar agihan pendapatan AS1M adalah 6.60 sen.
Menurutnya, kadar agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM694.96 juta iaitu peningkatan 5.6 peratus berbanding RM657.96 juta pada tahun sebelumnya.
Katanya, agihan pendapatan itu juga dapat memberi manfaat kepada 395,036 pemegang unit yang telah melanggan 10.9 bilion unit AS1M.
Ahmad Sarji berkata, pengagihan itu akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada hari ini.
Manakala, pemegang unit AS1M menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dikreditkan ke dalam akaun berkenaan.
Sehingga 28 September 2015, AS1M memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM813.57 juta.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: