Tuesday, October 6, 2015

Ibu tunggal perlu dana RM15,000



Ibu tunggal perlu dana RM15,000
Zainab (kiri) kini dijaga anak sulungnya, Nor Atikah Nazri.
PERAK TENGAH - Seorang ibu tunggal di Kampung Changkat Banjar, di sini memerlukan dana sebanyak kira-kira RM15,000 bagi membiayai  kos pembedahan jantung yang perlu segera dijalaninya November ini.

Zainab Shaari, 53, berkata, dia dikesan mengalami masalah injap jantung bocor yang menyebabkan dia mudah penat sejak 2013.

"Saya mudah penat walaupun sekadar buat kerja ringan macam sapu sampah, sejak itu kehidupan saya berubah.

"Kesihatan saya makin merosot, kalau sebelum sakit saya boleh kerja cari rezeki dengan menoreh getah tapi sekarang dah tak boleh.

"Sekarang saya tidak boleh banyak bergerak. Jalan kaki di kawasan rumah atau terlalu banyak bercakap juga buat saya cepat penat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Ibu tiga anak itu berkata,  disebabkan penyakit dihidapinya itu, urat di tengkuknya timbul dan dia terpaksa bernafas lebih laju daripada biasa.

“Beberapa bahagian badan saya juga sudah ada yang bengkak disebabkan pengumpulan air dalam badan kerana jantung tidak dapat berfungsi dengan baik.
"Jadi, pembedahan untuk tukar injap baharu amat saya perlukan tapi malangnya sampai sekarang saya buntu untuk dapatkan wang bagi menampung kos pembedahan," katanya.

Katanya, pemeriksaan dijalaninya di hospital mendapati tiga injap jantungnya bocor dan perlu segera dibedah dengan kos kira-kira RM15,000.

"Doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tetapkan tarikh pembedahan 11 November ini.

"Tapi, sampai sekarang saya masih belum dapat kumpul wang sebanyak itu memandangkan saya sendiri sudah tidak mampu bekerja," katanya.

Zainab berkata, dia perlu berulang-alik ke Hospital Changkat Melintang dan Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

"Mujur juga ada anak sulung saya... dia tidak dapat bekerja sebab jaga saya sepenuh masa.

"Hanya anak kedua dan bongsu yang kerja cari rezeki menyara hidup kami sekeluarga.

"Tapi mereka tak dapat bantu banyak untuk pembedahan ini sebab masing-masing baru mulakan kerjaya," katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 0822329851339444 (Zainab Shaari).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: