Tuesday, October 6, 2015

Surau umpama ‘syurga’ sayuran



Surau umpama ‘syurga’ sayuran
Mukti (dua, kiri) meninjau hasil tanaman peria di ladang sayuran Surau Taman Pekan Baru .
PARIT BUNTAR - Siapa sangka keterbatasan tanah di Surau Taman Pekan Baru di sini, berjaya dimanfaatkan sepenuhnya penduduk setempat bagi mewujudkan ‘syurga’ sayur-sayuran organik dan tanaman kontan pertama di daerah Kerian.

Lebih mengagumkan, keunikan ladang sayur-sayuran organik dihasilkan ahli jawatankuasa kariah surau bukan sahaja menggamit kehadiran pengunjung, malah turut menjana pendapatan surau serta penduduk.

Timbalan Pengerusi surau, Abdul Mukti Abdul Latiff berkata, usaha mewujudkan ladang sayur-sayuran berasaskan konsep organik dimulakan pada April 2014 apabila ahli jawatankuasa kariah surau sepakat menjadikan kawasan tanaman bunga hiasan terbiar di hadapan surau sebagai tapak ladang.

Menurutnya, melalui komitmen jitu Koordinator Projek Pertanian Bandar Surau Taman Pekan Baru, Saffie Salleh, 65, menjayakan projek tanaman sayur-sayuran itu, pihaknya berjaya mengesan potensi perlaksanaannya dalam menjana ekonomi surau pada masa hadapan.

“Pada peringkat awal, kami mula menanam kangkung, diikuti sawi, bayam dan kubis di kawasan hadapan surau yang kami labelkan sebagai blok A.

“Pihak surau sememangnya membiayai sepenuhnya modal perlaksanaan projek perintis ini dan hasilnya ternyata di luar jangkaan terutama tanaman kangkung yang meraih pendapatan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya.


Dapat kebenaran MDK guna tanah kosong

Abdul Mukti berkata, hasil kejayaan itu, pihaknya surau nekad meluaskan perlaksanaan projek pertanian mereka di kawasan blok B surau iaitu kawasan sejajar dengan pagar surau selepas enam bulan dijalankan.

Menurutnya, konsep penanaman kali ini sedikit berbeza apabila memilih tanaman sayur-sayuran menjalar dan memanjat seperti timun, kacang panjang, petola dan peria.

“Sekali lagi, pihak surau berjaya memperoleh hasil pertanian yang sangat banyak dan kejayaan itu terus memberi dorongan kepada kami agar perlaksanaan projek perlu dijalankan pada skala lebih besar.

“Justeru, dalam mesyuarat jawatankuasa kariah surau, satu cadangan meluaskan lagi projek pertanian sayur-sayuran organik di kawasan tanah kosong bersebelahan tapak surau milik Majlis Daerah Kerian (MDK) dengan keluasan 0.08 hektar.

“Pihak surau segera mengemukakan permohonan dan pada Februari 2015, kami berjaya mendapat kelulusan MDK,” katanya.


Hasilkan 1.1 tan metrik sayur

Saffie menegaskan perlaksanaan projek pertanian organik di kawasan baharu yang dilabel sebagai blok C berjaya mendapat perhatian Jabatan Pertanian daerah Kerian untuk diselia di bawah Program Projek Pertanian Bandar pertama di Kerian.

“Melihat kesungguhan pihak surau, Jabatan Pertanian daerah Kerian mengiktiraf projek kami sebagai satu-satunya projek pertanian bandar yang dilaksanakan pada skala komersil di daerah Kerian ketika ini.

“Tidak cukup dengan itu, hasil tuaian pertama ladang sayur-sayuran di blok C pada Jun lalu juga amat memberangsangkan apabila sejumlah 1.1 tan metrik sayuran timun, kangkung dan sawi berjaya dikutip dengan nilai pendapatan keseluruhan RM1,600,” katanya.

Saffie berkata, hasil sayur-sayuran diusahakan pihak surau sebenarnya mempunyai nilai tambah dari aspek kualiti apabila penghasilannya adalah 100 peratus menggunakan bahan organik dan tiada penggunaan racun.
Bagaimanapun, pihak surau memutuskan untuk menjual hasil tanaman secara terus kepada pengguna terutama ahli jemaah kariah surau dengan harga lebih rendah daripada pasaran semasa.

“Objektif sebenar perlaksanaan projek ini bertujuan membolehkan penduduk mendapat hasil sayur-sayuran organik dan segar dari ladang dengan harga lebih rendah.

“Selain itu, projek ini diharap memberi hasil pendapatan tambahan kepada surau serta pengusaha yang terlibat di samping menggamit kehadiran jemaah ke surau,” katanya.


Panorama seperti Cameron Highland

Saffie berkata, ketika ini, pihak surau dalam proses menuai hasil tanaman peringkat kedua meliputi jenis sayuran seperti petola, peria, kangkung dan sebagainya.

Menurutnya, kutipan hasil tanaman sehingga kini menampakkan peningkatan berbanding musim terdahulu dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan sayur-sayuran terus dari ladang surau itu bermula jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari pada setiap hari.

“Perlaksanaan projek penanaman sayuran menjalar ketika ini turut berjaya mewujudkan panorama pemandangan ladang sayur surau yang indah dan seakan-akan menyamai panorama kebun sayur terdapat di Cameron Highland,” katanya.


Jadi contoh kepada surau lain

Menurutnya, kejayaan Surau Taman Pekan Baru mewujudkan ‘syurga’ sayur-sayuran wajar dijadikan contoh kepada surau lain di daerah ini untuk melakukan inisiatif sama.

“Bagi pihak belia, kami turut mengenal pasti potensi panorama menarik ladang sayuran di surau ini boleh dijadikan lokasi penggambaran  pasangan pengantin yang berminat.

“Paling penting, perlaksanaan projek pertanian ini berjaya menyatukan semangat kerjasama penduduk dan belia dalam memastikan ianya terus berjaya pada masa hadapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: