Friday, October 9, 2015

Henti jual 'air jampi' tak berlesen


jabatan kesihatan pahang

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang hari ini, menyarankan pengilang, pengedar dan penjual untuk tidak menjual produk air minuman berbungkus yang tidak dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pengarahnya, Dr Zainal Arifin Omar berkata, ia termasuk penjualan 'air jampi' secara komersial di pasaran tempatan dengan menggunakan pengaruh agama sedangkan ia hanya air kosong yang sama seperti air minuman lain.
    
"Air jampi dikategorikan sebagai air minuman berbungkus yang tertakluk kepada Peraturan 360B(1A) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang menyatakan semua punca air minuman berbungkus bagi tujuan perdagangan atau perniagaan perlu dilesenkan sebelum boleh dibotol dan dijual kepada pengguna di pasaran.

"Kegagalan mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Zainal Arifin berkata, peraturan sama juga menyatakan label pada produk air minuman berbungkus juga tidak boleh memaparkan akuan kesihatan yang tidak dibenarkan.
   
Beliau berkata, jabatan itu mengambil tindakan penguatkuasaan kepada penjualan air jampi itu mengikut Seksyen 4 (1)(f) Akta Makanan 1983 kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.
    
Ia juga selaras dengan persetujuan di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang mahu supaya tindakan dilakukan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: