Friday, October 9, 2015

Tanah terbiar jadi punca rezeki



Tanah terbiar jadi punca rezeki
Hasil tanaman jagung madu memberi peluang kepada belia Kampung Parit 2 berbudi pada tanah.
TANJONG KARANG – Tidak mahu tanah terbiar kosong tanpa manfaat, belia Kampung Parit 2, di sini mengambil inisiatif menjalankan projek jagung madu untuk pasaran setempat.

Lebih membanggakan, usaha murni itu mendapat perhatian Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias apabila sumbangan baja dihulurkan bagi menyuntik semangat 15 belia sekali gus membantu meningkatkan pendapatan harian.

Bagi Mohd Shamsudin, galakan dan sokongan penting bagi membantu melahirkan usahawan tani muda di dalam Dun Sungai Burong yang berjaya dalam projek jagung madu.

“Sudah pastinya jika berbudi pada tanah, kita akan dapat pulangan cukup baik berkat usaha kuat tanpa kenal erti putus asa. Tanaman jagung ini cukup menguntungkan dengan tempoh jagaan singkat.

“Saya berharap usaha ini berterusan dan agensi kerajaan perlu saling membantu dari segi sokongan input pertanian,” katanya ketika mengunjungi projek tanaman jagung madu di Parit 2.

Wakil belia, Mohd Khairul Anuar, 25, berkata, projek yang diusahakan bersama kawan sejak tujuh tahun lalu sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan selain dapat berbudi dengan tanah.

“Tanaman jagung ini cukup mudah dengan kos yang rendah selain tempoh tuai lebih cepat…lagipun kerja jaga pun senang dan hanya perlu dua orang saja untuk usahakan tanah seluas 0.4 hektar.

“Alhamdulillah, sambutan cukup menggalakkan dengan pasaran setempat dan Lembah Klang. Memang saya galakkan orang muda supaya berbudi pada tanah sebab selalu menguntungkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: