
Abdul Khalid menunjukkan saliran air bukit yang semakin kering yang menjadi tempat beliau menyedut air sebelum disalurkan ke rumah dan resort yang diusahakannya.
TIOMAN – Masalah ketiadaan bekalan air bersih di beberapa kampung di Pulau Tioman bukanlah isu remeh kerana melibatkan imej sebuah pulau peranginan antara yang terkenal di dunia yang dikunjungi pelancong tempatan dan antarabangsa.
Masalah kemudahan asas ini bukanlah isu baharu, tetapi sejak puluhan tahun lalu. Walaupun, tidak dinafikan telah ada usaha dilakukan pihak kerajaan untuk menyediakan bekalan air bersih sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini ia masih tergendala.
Berdasarkan tinjauan beberapa penduduk dan pemimpin setempat, projek penyaluran bekalan air bersih itu bermula dari Kampung Tekek hingga ke Kampung Salang tetapi timbul isu ketika rundingan dengan penduduk kerana paip perlu melalui tanah mereka.
Namun begitu, apa pun jua halangan dalam menjayakan projek itu, ia perlu diteruskan atau perlu ada projek alternatif lain supaya bekalan air bersih dapat disalurkan bagi mengelak masalah ini terus berlarutan sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk sekali gus menjejaskan pengusaha resort.
Tidak pernah ada bekalan air bersih
Penduduk Kampung Salang, Abdul Khalid Mohamad, 59, berkata, kampungnya memang tidak pernah ada bekalan air bersih walaupun beberapa tahun lalu ada usaha yang dilakukan pihak Pembangunan Luar Bandar (PLB).
Namun katanya, usaha itu tidak berpanjangan kerana sumber air projek berkenaan telah kering.
“Selain untuk kegunaan peribadi dan keluarga, sumber air juga kebanyakannya adalah untuk kegunaan pelancong yang berkunjung ke kampung ini kerana kebanyakan penduduk juga mengusahakan resort atau chalet.
“Ada yang ambil alternatif sedut air bukit guna pam enjin minyak petrol sebelum disalurkan ke rumah dan chalet kediaman pelancong.
Selain usaha itu, ada juga pengusaha yang gali perigi... tapi tahap kebersihan air kurang bagus. Lagipun, kedalaman perigi yang mampu digali juga terhad sebab keadaan tanah pulau yang ada karang di dasarnya,” katanya.
Pelancong merungut, jejas imej resort
Dia yang juga pengusaha resort tidak menafikan pernah didatangi pelancong dalam keadaan badan masih bersabun kerana terputus bekalan air ketika sedang mandi yang sekali gus menjatuhkan imej resortnya serta Pulau Tioman secara amnya.
“Kadang-kadang saya dan pengusaha resort lain di sini tak terpaksa berjaga malam nak cari sumber air demi beri perkhidmatan terbaik kepada pelancong. Tapi kadang-kala gagal juga sebab terpaksa melayan rungutan pelancong.
“Ada pengusaha resort ambil jalan selamat dengan menutup atau tidak beroperasi sepenuhnya bagi mengehadkan pengambilan pelancong kerana bimbang sumber air tak dapat menampung pelancong yang ramai. Alternatif ini menjejaskan pendapatan kami pula,” katanya yang merupakan penduduk asal Kampung Salang yang terletak di jeti terakhir menurunkan pelancong.
Nafi dakwaan penduduk tolak salur air bersih
Dalam pada itu, beliau juga menafikan dakwaan bahawa penduduk Pulau Tioman tidak mahukan penyaluran bekalan air bersih kerana lebih selesa menggunakan air bukit atau telaga yang disedut sendiri tanpa perlu membayar bil.
“Dakwaan tu tak tepat walaupun mungkin ada yang bersikap demikian. Tapi ia tak mewakili keseluruhan penduduk Pulau Tioman. Laksanakan projek saluran bekalan air bersih bagi yang mahu dan memerlukan kerana saya percaya apabila telah ada bekalan air bersih, penduduk yang menolak projek berkenaan sampai masanya tetap akan mahukannya juga.
“Modal yang yang kami keluarkan untuk dapatkan air sendiri ini melalui perigi dan menyedut air bukit sudah banyak serta lebih daripada kos bayaran bil yang dikenakan jika projek penyaluran bekalan air bersih itu dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, sekolah di Kampung Tekek juga pernah ditutup kerana ketiadaan bekalan air.
"Semua pelajar diarah balik... bagi anak saya, saya hantar dan jemput naik bot. Tapi, ibu bapa yang tak ada bot, anak mereka tak ke sekolah terus... justeru, ini bukan isu remeh, perlukan penyelesaian konkrit," keluhnya.
Terpaksa tutup perniagaan
Dalam pada itu, seorang lagi pengusaha resort, Abdul Hashim Maulana, 56, tidak menafikan pernah terpaksa menutup perniagaannya itu kerana tidak boleh menerima pelanggan disebabkan tiada bekalan air.
“Masalah ini dah lama berlarutan dan menjejaskan pendapatan kami sebagai pengusaha resort atau chalet. Perniagaan ini merupakan antara pendapatan utama penduduk di sini untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: