Aniu
NAMA Aniu masih lagi asing buat peminat filem tanah air.
Bukan itu saja, peminat seni lakon Melayu juga masih tidak biasa menyebut namanya, apatah lagi mengenali peribadi pemuda berusia 39 tahun ini.
Sedangkan pemilik nama sebenar Tan Kheng Seong ini, sudah pun mencipta namanya di negara luar seperti Singapura, China, Hong Kong dan Taiwan menerusi pelbagai drama dan filem bahkan turut menjadi penyanyi.
Namun, dalam kesederhanaan, Aniu mula mengorak langkah meneroka pasaran baharu apabila membintangi filem Rembat di samping Shaheizy Sam, Zizan Razak, Zara Zya dan Zulin Aziz.
Jelas Aniu, dia menerima tawaran berlakon dalam filem itu lantaran tertarik dengan konsep karyanya.
"Sebab utamanya adalah potensi yang ada untuk filem ini bagi memikat penonton Melayu yang berbeza budaya dan bangsa daripada peminat saya sebelum ini.
"Apatah lagi, pembabitan pelakon yang berbilang kaum daripada latar belakang berbeza turut menarik perhatian saya.
"Tambahan pula, saya peminat bola sepak kerana sering bermain dengan rakan sekampung di Batu Puyuh, Pulau Pinang sewaktu kecil,” katanya.
Bagaimanapun, Aniu mengakui kekok untuk menjayakan wataknya sekali gus memerlukannya untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
"Watak saya adalah seorang samseng dan itu menyebabkan saya perlu berada dalam keadaan garang dan bergaduh. Jujurnya, saya tidak pernah melalui situasi seperti itu dalam kehidupan sebenar.
"Pada masa sama, saya mengaku menghadapi kesukaran menghafal skrip dan dialog kerana tidak biasa dengan Bahasa Melayu.
"Tapi sebenarnya saya sememangnya bercakap dalam bahasa Melayu terutamanya apabila pulang ke kampung halaman," katanya.
Pun begitu, Aniu yang bergandingan dengan Shaheizy Sam menyifatkan pelakon itu berdedikasi dalam kerjaya.
"Beberapa minggu sebelum penggambaran, saya dan Sam ada berjumpa bagi membuat latihan, jadi keserasian sudah ada apabila penggambaran bermula," katanya.
Bahkan, kata Aniu, bagi memasuki pasaran khalayak Melayu, dia turut mempunyai perancangan untuk menyanyi lagu berbahasa Melayu pada masa akan datang.
"Saya sangat meminati Sheila Majid.
"Malah, saya juga ada lagu bahasa Melayu yang dihasilkan dan masih lagi disimpan sehingga ke hari ini.
"Mungkin ia akan diterbitkan pada masa akan datang, kalau respons diterima bagus, saya akan teruskan perancangan ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: