Wednesday, October 21, 2015

Arif Dollah: ‘Saya mahu Sufi mohon maaf’



Muhammad Arif Dollah
Arif
BEKAS pengurus kepada Tegar Septian iaitu Muhammad Arif Dollah meminta Juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), Muhammad Sufie Rashid, 24, atau Sufi memohon maaf sama ada secara terbuka atau tertutup bagi membersihkan namanya daripada dakwaan gangguan seksual terhadap penyanyi itu.

Arif ditemui pada sidang media khas mengenai kes gangguan seksual yang dilaporkan terhadapnya menjelaskan, peguamnya kini dalam proses menyiapkan surat bagi memohon Sufi yang juga bekas anak tirinya itu membuat permohonan maaf dalam masa tujuh hari.

“Andai kata Sufi memohon maaf secara terbuka atau datang sendiri kepada saya untuk memohon maaf, saya sedia mempertimbangkan untuk menarik balik saman malu terhadapnya.

“Dia yang membuka isu ini (dakwaan seksual), saya mahu dia menutup isu ini kembali,” katanya.

Ditanya adakah dia sengaja membuat sidang media di Malaysia selepas Sufi menjadi juara AF2015 dan memandangkan kes yang dilaporkan berlaku di Singapura, Arif menjelaskan, kes ini mula dimainkan di media Malaysia sebelum merebak ke media Singapura dan Indonesia.

“Memandangkan kes ini mula bermain di media Malaysia, jadi sebab itu saya memilih untuk mengadakan sidang media di sini. Selain itu, saya mahu membersihkan nama saya.

“Malah, selepas ini saya akan ke Bukit Amanmembuat laporan polis bagi menghalang Tegar membuat kenyataan berkaitan kes seksual di media Malaysia kerana Tegar sudah  menarik kes gangguan seksual di Singapura,” jelasnya.


Dakwaan Tegar tidak benar

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai penyanyi dari Indonesia tersebut, Arif berkata, dia sebelum ini disiasat di bawah Perlindungan Hak Kanak-Kanak di Singapura berhubung dakwaan menonton video lucah dan membuat perbuatan tidak bermoral di hadapan Tegar.

“Beberapa dakwaan Tegar berkenaan saya didapati bercanggah dan Tegar akhirnya membuat pengakuan dakwaannya terhadap saya adalah tidak benar.

“Akhirnya kes ini gugur tetapi bukan gugur kerana tiada bukti; sebaliknya kerana Tegar sendiri buat kenyataan bahawa semua yang didakwa tidak pernah terjadi,” katanya.

Tambah Arif, dia sudah membuat laporan polis dan memfailkan saman sivil kepada Tegar, namun disebabkan ia melibatkan dua negara, maka siasatan lanjut terhadap Tegar tidak dapat dilakukan.

“Polis berkata memandangkan Tegar merupakan rakyat Indonesia, mereka tidak boleh sewenangnya menahan dan mendakwa Tegar. Jadi saya tidak tahu apa perkembangan kes berkenaan setakat ini,” ujarnya.

Terdahulu media pada awal tahun lalu melaporkan Arif, 30 dipanggil polis selepas pihak berkuasa negara itu menerima dua laporan yang dibuat oleh Tegar dan Sufi berhubung gangguan seksual yang didakwa dilakukan olehnya.  

Tegar berjaya mencipta nama apabila lagu  Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang menjadi popular bukan sahaja di Indonesia sebaliknya di Malaysia, Singapura dan Brunei. Sehingga kini, klip video lagu itu mendapat lebih 11 juta tontonan di YouTube.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya diperlakukan lebih teruk dari Tegar' ]

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: