Wednesday, October 21, 2015

Amar, Nabila kurang serasi?



Amar, Nabila kurang serasi
Bimbang tidak sesuai di pentas teater, keduanya bagaimanapun cuba menjalani latihan sekerap mungkin bersama supaya tidak nampak kekok di mata penonton.
RATA-RATA peminat karya hebat sentuhan Allahyarham Prof Hamka memang tidak sabar untuk menyaksikan pementasan teater terbitan CTRA Production ini di pentas berprestij Istana Budaya (IB).

Baru sahaja melabuhkan tirainya Ahad lalu, pementasan yang berlangsung selama seminggu iaitu bermula 12 hingga 18 Oktober itu bagaimanapun dilihat kurang berjaya menyentuh emosi berbanding novel mahu pun filem yang pernah diadaptasi pada 2013 daripada naskhah agung itu.

Mengulas mengenai teater ini, secara keseluruhan pementasannya kurang sampai kepada penonton.

Mungkin ada yang kecewa atau sebaliknya, tetapi di mata penulis, seperti ada kurang pada pementasan tersebut.

Adakah kerana pelakon, prop, skrip atau pun jalan cerita yang diolah, semuanya hanya mampu dijawab oleh mereka yang menonton pementasan berkenaan.

Dibarisi pelakon baharu sebagai teraju utama iaitu Amar Baharin, sebelum ini sudah ramai yang mempersoalkan kekuatannya membawakan peranan Zainuddin di pentas tersebut.

Pada awalnya, keraguan penonton seperti sudah terjawab, namun siapa sangka di akhirnya Amar berjaya memainkan peranan tersebut dengan baik.

Walaupun, tidak seratus peratus menguasai watak Zainuddin, tetapi sebagai orang baharu di pentas teater, dia masih boleh diberikan pujian.

Berbanding pelakon hebat Nabila Huda, pengalamannya pernah beraksi di pentas teater sebelum ini bukan alasan dia mampu menjadi Hayati dengan baik.

Walhal semua mengakui Nabila punya aura tersendiri dalam bidang lakonan.

Bukan tidak mampu menjiwai wataknya, sebaliknya dek kecuaian kecil seperti terlupa lirik dan skrip membuatkan wataknya agak cacat di mata penonton.

Selain itu, Nabila memang tiada tolok bandingnya menjadi Hayati.

Sedikit mengenai jalan cerita teater ini, ia berkisarkan kisah cinta terhalang di antara Zainuddin dan Hayati.

Percintaan mereka dihalang kerana keluarga Hayati tidak dapat menerima Zainuddin yang berasal dari keturunan yang tidak diketahui asal usulnya.


Amar, Nabila kurang serasi?

Sebelum bermulanya pementasan ini lagi, gandingan Amar dan Nabila pernah menjadi tanda tanya.

Bimbang tidak sesuai di pentas teater, keduanya bagaimanapun cuba menjalani latihan sekerap mungkin bersama supaya tidak nampak kekok di mata penonton.

Pun begitu, pada pementasan tersebut, bagai ada jurang di antara mereka.

Walaupun daripada aspek emosi dan lontaran dialog keduanya berkesan tetapi mereka tidak berjaya mencipta keserasian tersebut pada keseluruhan babak berdua.

Hanya beberapa babak sahaja yang memperlihatkan mereka seperti pasangan bercinta.

Bercakap mengenai keserasian mereka, Amar dan Nabila memberitahu, mereka sudah lakukan yang terbaik.

“Jika ada yang kurang berpuas hati, kami minta maaf. Sebolehnya, kami telah lakukan semampu mungkin untuk menghiburkan mereka,” kata Amar.


Watak sampingan lebih menyerlah

Meskipun pementasan teater yang mendapat arahan Azhar Zainal ini kurang menjadi, namun ia tetap mempunyai tarikan dan kehebatan tersendiri.

Wajar diberi pujian kepada pelakon, produksi dan krew terlibat kerana mereka sebenarnya telah memberikan yang terbaik sepanjang pementasan itu.

Di awal pementasan walau pun yang kurang berpuas hati dengan lakonan mereka, namun di akhirnya, setiap pelakon berjaya memberi impak menerusi karakter masing-masing kepada penonton.

Amyra Rosli misalnya, walaupun babaknya sebagai Khatijah boleh dibilang jari, namun lakonannya dilihat berjaya dan berkesan menyerikan teater itu.

Mungkin berbekalkan bakatnya dalam seni teater, dia kelihatan lebih yakin berhadapan dengan penonton.

Begitu juga dengan Syarul Ridzwan (Muluk) dan Khairul Shafek yang dipertanggungjawabkan menjadi Azis, keduanya benar-benar menjiwai watak yang diberikan.

Menariknya, mereka juga orang baru di pentas teater tetapi kesungguhan mereka terserlah pada pementasan teater itu.

Dalam pada itu, kehebatan watak pembantu seperti Liza Abdullah (Bonda), Rasdi Daud (Datuk Penghulu Garang) dan Bohari Ibrahim (Datuk Garang) tampak sangat berkesan pada malam itu.

Boleh dikatakan, kehadiran mereka membuatkan teater itu lebih gah di mata penonton dan boleh dianggap sebagai penyelamat.

Sejujurnya, kemampuan Rasdi dan Bohari dalam dunia teater tidak perlu dipertikaikan lagi.


Babak menarik

Bercerita mengenai adegan-adegan menarik menerusi teater ini pula, antara babak yang berjaya menarik perhatian adalah ketika Zainuddin yang miskin itu berubah menjadi penulis yang masyhur.

Ianya tampak lebih hidup berbanding babak yang memerlukan kehadiran Zainuddin.

Tidak ketinggalan babak di mana perkahwinan Azis dan Hayati dilangsungkan.

Memang tampak meriah lebih-lebih lagi apabila produksi memaparkan perkahwinan budaya Minangkabau yang digambarkan cukup sempurna.

Selain itu, teater muzikal ini semakin meriah dengan kehadiran penari dan nyanyian yang cukup mengasyikkan.

Sementara itu, penerbitnya, Siti Rohayah Atan berkata, pementasan yang berjalan lancar sudah cukup memuaskan hatinya.

“Saya berterima kasih kerana pelakon sudah memberikan yang terbaik untuk teater ini. Walau pun ada kekurangan tetapi ia masih boleh dibetulkan pada masa akan datang. Rata-ratanya masih baru dan saya berpuas hati dengan mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: