Thursday, October 8, 2015

Anak lumpuh tiba-tiba



Anak lumpuh tiba-tiba
Mohd Marzuki (kiri) bersama Noraidah memangku anak bongsu mereka, Izwan yang kini hanya mampu terlantar.
KUALA LUMPUR - Hati ibu bapa mana yang tidak terusik melihat anak bongsu yang sebelum ini aktif, tiba-tiba hilang keupayaan dan hanya mampu terbaring.
Shahrul Izwan Mohd Marzuki, 15, yang juga pelajar Sekolah Menengah Tinggi, Setapak, lumpuh sejak kira-kira tiga bulan lalu setelah disahkan dijangkiti kuman dalam darah.
Bapanya, Mohd Marzuki Mohd Radzi, 54, berkata, pada mulanya dia bersama isteri, Noraidah Mat Ail, 42, membawa Izwan ke hospital untuk mengambil ubat krim sapu kerana mengalami gatal-gatal.
Menurutnya, bagaimanapun hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat jangkitan dalam darah Izwan, dan perlu membuat rawatan segera dengan mencuci darah. 
“Disebabkan jangkitan kuman, saya setuju untuk rawatan cuci darah dan Izwan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Tapi lepas tu Izwan koma selama 22 hari dan jadi begini sejak dia sedar.
“Doktor beritahu jantung Izwan terhenti sebelum rawatan itu, jadi keadaan dia sekarang mungkin kesan daripada itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Seri Semarak, semalam. 
Mohd Marzuki yang bekerja sendiri menambah, keadaan Izwan sihat sahaja sebelum ini dan penyakit buah pinggang yang pernah dialami ketika umur empat tahun juga sudah disahkan sembuh sejak 10 tahun lalu. 
“Sekarang ini Izwan hanya bergantung dengan susu saja untuk makan. Dia akan merengek dalam keadaan-keadaan tertentu,” katanya.
Katanya, situasi berkenaan menyebabkan dia tidak dapat bekerja kerana memberi tumpuan menjaga Izwan.
“Bayaran bulanan pembelian rumah ini juga sudah tertunggak. Jadi saya harap pihak Yayasan Wilayah Persekutuan dan DBKL dapat beri kelonggaran,” katanya.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh salurkan ke melalui akaun CIMB (7004680423) atas nama Mohd Marzuki Mohd Radzi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: