Thursday, October 8, 2015

Lesen elak tipu umrah



Lesen elak tipu umrah
Ghazale dan Rashidi pada sidang media di Auditorium KPK negeri, semalam.
AYER KEROH - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mewajibkan seluruh agensi pelancongan di negara ini mendapatkan lesen khas bagi melayakkan syarikat mengendalikan pakej umrah dan ziarah, sebelum 3 Oktober 2016.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Datuk Rashidi Hasbullah berkata, penguatkuasaan itu susulan penubuhan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) pada 14 Jun tahun lalu untuk membolehkan kementerian memantau, sekali gus menangani kes penipuan membabitkan pakej umrah dan ziarah yang banyak dilaporkan sebelum ini.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 500 agensi pelancongan menawarkan pakej berkenaan dan hanya bergantung kepada 61 syarikat berdaftar memiliki muassasah untuk mendapatkan pengeluaran visa daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Disebabkan itu, banyak kejadian penipuan selain tidak boleh melaksanakan umrah kerana tiada visa.
“Tapi, bagi tempoh sehingga 3 Oktober 2016, agensi pelancongan boleh melaksanakan pakej umrah tetapi perlu ada perjanjian persefahaman dengan 61 syarikat ini supaya kejadian seumpama itu tidak berlaku,” katanya.
Menurutnya, kementerian dijangka melancarkan lesen khas umrah terbabit pada 14 Oktober ini selepas melaksanakan kursus pensijilan pengendalian umrah kepada agensi pelancongan yang masih berlangsung.
Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik kementerian, sebanyak 56 kes agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah dikompaun membabitkan nilai RM222,000 sejak 2012 hingga Ogos lalu.
"Manakala, sebanyak 2,761 kes yang difailkan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bagi tempoh sama dengan nilai tuntutan RM15.753 juta," katanya pada sidang media sempena Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan Pakej Umrah/Ziarah dan Hak Kepenggunaan Kepada Orang Awam 2015 di Auditorium KPK negeri, di sini, semalam.
Hadir merasmikan majlis, Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: