
Sembilan pasangan yang dinikahkan serentak semalam gembira setelah sah bergelar suami isteri.
GOMBAK - Selepas empat tahun berkawan, pasangan pelajar dari Universiti Teknologi Petronas mengambil keputusan mengakhiri zaman bujang bersama lapan lagi pasangan yang dinikahkan secara serentak di Masjid Khairiyah, di sini semalam.
Pelajar terbabit, Mohd Hafizuddin Yusoff, 23, berkata, dia memilih untuk menikahi pasangannya, Aina Eileena Louis, 22, yang baru memeluk Islam dua bulan lalu bagi mengelakkan perkara negatif.
“Kami kenal dah lama sejak semester tiga lagi dan rasa serasi, jadi kami setuju nikah dulu sementara majlis resepsi akan dibuat kemudian.
“Disebabkan kami sibuk kerana berada di tahun akhir, jadi majlisnya akan dibuat selepas tamat pengajian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pasangannya, Aina Eileena yang berasal dari Sarawak berkata, mengikut perancangan mereka bercadang menikah pada 10 Oktober lalu.
“Tapi bila nikah serentak lebih meriah dan tarikhnya juga cantik sebab Awal Muharam,” katanya.
Bagi pasangan pengantin Mohd Azam Jusoh, 28, dan Nor Fasarina Rahmat, 23, mereka memilih untuk bernikah beramai-ramai bagi menjimatkan kos perbelanjaan perkahwinan.
Sementara itu, Nazir Masjid, Mohd Rozi Salleh berkata, program kali kelima yang dianjurkan itu adalah bagi menggalakkan pasangan muda mendirikan rumah tangga dan mengelakkan maksiat.
“Ini adalah tanggungjawab sosial pihak masjid dalam membantu pasangan muda yang mahu berkahwin, tapi bermasalah kewangan terhad.
“Setiap pasangan hanya perlu membayar RM600 sementara pihak masjid mengeluarkan antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk perbelanjaan majlis pada hari ini (semalam),” katanya.
Katanya, pasangan yang dinikahkan semalam terdiri mereka yang berusia antara 21 hingga 32 tahun dan merupakan pertama kali berkahwin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: