Sunday, March 2, 2014

Wanita kudung tukang emas terbaik



BIARPUN mengalami kekurangan fizikal, Gabbedey tidak memerlukan peralatan khas untuk menghasilkan barang kemas.


SEORANG tukang emas terkenal di Britain telah menjual beribu-ribu barang kemas dan berjaya mencipta perhiasan rumit itu walaupun dilahirkan tanpa jari tangan.
Annette Gabbedey, 48, menghasilkan cincin, anting-anting dan gelang yang dihias dengan berlian, permata dan batu-batu berharga lain di bengkelnya di Frome, Somerset, England.
Dia tidak menggunakan peralatan khas untuk membantu kerja-kerjanya itu.
"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana orang yang mempunyai jari bekerja.
"Saya sudah terbiasa dan sama sekali tidak merasakan ada kekurangan fizikal. Sebaliknya saya berasa dihargai apabila orang sering terpesona melihat saya mereka sesuatu dengan senang.
"Mencipta barang kemas memerlukan sentuhan dengan jari tetapi ada pelanggan yang bertanya bagaimana saya berjaya melakukannya," ujarnya.
Tambahnya, semasa masih bersekolah dia telah digalakkan oleh keluarganya supaya mengatasi kekurangan fizikal tersebut. Oleh sebab itu, dia berusaha meneliti barang kemas serta cuba membuatnya di sekolah dan kolej sebelum mengikuti latihan di Hatton Garden, London.

WANITA ini menjalani latihan dengan beberapa pakar barang kemas di Hatton Garden, London.


Dia berpindah ke Somerset 24 tahun lalu dan kini diiktiraf sebagai pakar permata dan salah seorang tukang emas terbaik di Britain.
"Ia hanya persepsi anda tentang bagaimana anda melihat diri sendiri. Bagi saya, kekurangan fizikal tidak pernah menghalang saya mencapai apa yang dihajati.
"Saya sekadar mencari cara yang berbeza untuk melakukan sesuatu. Walaupun tanpa jari, saya mampu menghasilkan barang kemas, dapat merasakan segala-gala yang disentuh dan boleh membuat banyak pergerakan dengan tangan yang ada.
"Saya ada cara yang betul untuk memegang benda-benda kecil menggunakan tangan kudung saya ini," ujarnya yang suka menjawab soalan-soalan remeh daripada kanak-kanak yang bersifat ingin tahu.
Jelasnya, keinginan untuk mempelajari banyak benda baharu pada usia muda itu merupakan perkara normal apatah lagi dunia ini dihuni oleh orang yang berbeza-beza.
"Orang melihat kerja saya dan kemudiannya terpegun bagaimana saya boleh membuatnya," katanya.
Tambahnya, koleksi barang kemas paling mahal yang pernah diciptanya berharga £25,000 (RM136,779). Ia diperbuat daripada emas 18 karat berserta batu permata dan kalung berlian.
"Ramai orang menghadapi cabaran yang berbagai-bagai dan cabaran saya adalah tangan saya," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: