Saturday, March 1, 2014

Sukan memancing lonjak imej Sarikei


PENDUDUK Kampung Selalang bergambar bersama siput sedut yang dikutip di sekitar kawasan hutan bakau.


PERALATAN memancing sudah disediakan. Begitu juga dengan bekalan makanan untuk aktiviti memasak di tengah-tengah Lubok Sungai Selalang, Sarikei, Sarawak pada hari itu.
Namun begitu, masih ada individu yang masih sibuk memeriksa bekalan dan memilih umpan terbaik untuk memastikan mereka dapat mendaratkan ikan bersaiz besar atau XL.
Tepat pukul 9 pagi, seramai 100 orang kaki pancing yang mengikuti program Sarikei sebagai destinasi pelancongan pilihan anjuran Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sarikei baru-baru ini sudah mula terbayang-bayang keseronokan beraksi di perairan Sungai Rajang itu.
Ada juga di antara mereka yang tidak sabar untuk merasai pengalaman pertama memasak di restoran terapung yang disediakan.
Selepas hampir sejam perjalanan menyusuri kawasan paya bakau sejauh 10 kilometer, bot yang dinaiki akhirnya sampai ke destinasi popular dalam kalangan penggemar sukan memancing iaitu Lubok Sungai Selalang.
Dikelilingi keindahan alam semula jadi, pemancing yang mengambil bahagian dapat melihat kehadiran haiwan-haiwan seperti monyet dan kepelbagaian burung ketika mereka sedang memancing. Di sebelah malam pula, persekitaran sungai itu diterangi dengan cahaya kelip-kelip yang mempesonakan.

PEMANCING sedang menyediakan peralatan dan perkakasan sebelum bertarung dengan ikan di perairan Sungai Rejang.


Nilai perubatan
Bagi Bakri Ihi, 46, Lubok Sungai Selalang merupakan syurga buat peminat sukan memancing memandangkan aneka ikan air tawar yang boleh didapati di situ.
“Menawarkan pengalaman memancing yang menyeronokkan sambil dihidangkan keindahan alam semula jadi dan dikatakan ia destinasi memancing sempurna bagi setiap kaki pancing.
“Tambahan pula, terdapat banyak ikan di sini. Oleh itu, tidak sia-sia menghabiskan masa memancing di Lubok Sungai Selalang, terutamanya untuk mendapatkan ikan terusan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada program berkenaan.
Berkongsi ilmu, Bakri berkata, percaya atau tidak, bahagian limpa ikan terusan boleh dijual sehingga harga yang mencecah RM1,000.
“Ini kerana ia didakwa mempunyai nilai-nilai perubatan tinggi seperti merawat penyakit sakit tulang belakang dan buah pinggang,” jelasnya.
Menurut pekerja am dari Kampung Baru Sarikei itu, pengalaman memancing sambil memasak di Lubok Sungai Selalang pada waktu malam lebih menarik dengan persekitaran yang sejuk, tenang dan selesa.

IKAN yu kecil merupakan antara hasil tangkapan kaki pancing di Lubok Sungai Selalang.


Ceritanya, aktiviti memancing pada tengah malam menjanjikan cabaran berbeza, sekali gus menguji kecekapan kaki pancing mengawal joran mereka.
“Ada bezanya memancing di sebelah siang dan malam. Pada waktu tengah malam, ikan jarang makan umpan. Tetapi sekali ia makan, bukan calang-calang beratnya sebab waktu malam ikan besar lebih aktif berbanding ikan kecil.
“Kalau memancing tengah malam, pemancing perlu peka dengan suhu air kerana pada waktu begini, ikan tidak berapa aktif dan suka bergerak di dasar kolam. Jadi, pemilihan umpan dan joran yang tepat akan membantu pemancing mendapatkan hasil lumayan,” ujarnya tersenyum.
Bapa kepada empat orang cahaya mata itu menambah, seseorang pemancing itu perlu kreatif, tidak mudah putus asa dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk riak permukaan air jika memilih memancing pada waktu tengah malam.
Namun demikian, dia mengingatkan, hasil pancing bergantung kepada rezeki dan tidak akan berhasil tanpa usaha.
“Di sini letaknya daya imaginasi dan kreativiti bagi mendapatkan ikan yang besar,” katanya.
Destinasi baharu
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman mengakui Lubok Sungai Selalang merupakan destinasi baharu yang perlu diterokai oleh pengunjung.
Katanya, Sarikei amat bertuah kerana dianugerahkan perairan yang kaya dengan sumber ikan air tawar sebagai tarikan aktiviti memancing ikan.
Di Sarikei, ujarnya, lokasi-lokasi perairan yang kaya dengan sumber ikan ialah di Lubok Sungai Selalang dan Lubok Sungai Nyamuk.
“Kerajaan bersedia memajukan kawasan perikanan ini sebagai satu destinasi pelancongan utama bagi menarik kedatangan pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2014.
“Pada masa sama, kita turut merancang untuk menganjurkan program Safari Memancing Sarikei 2014 bagi menarik kedatangan pengunjung tempatan dan asing terutamanya kaki pancing ke sini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: