Saturday, March 1, 2014

Berpotensi sebagai produk pelancongan negara



PENGANJURAN Pesta Kabut juga menjadi medan peserta bersosial selain menambah pendapatan.


GAMAT pekarangan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila kira-kira 100 peserta Pesta Kabut berusaha memasarkan produk masing-masing kepada ribuan pengunjung yang hadir.
Julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur di lokasi tumpuan pelancong, pesta jualan tersebut membuka ruang kepada pengunjung tempatan dan asing melihat sendiri kepelbagaian produk menarik yang ditawarkan dari but kereta dan bukannya kaedah lazim iaitu gerai.
Produk-produk yang dipasarkan meliputi makanan, suplemen kesihatan, pakaian baharu dan terpakai serta kelengkapan gaya wanita yang disusun rapi di but kereta peniaga.
Sungguhpun demikian, perhatian pengunjung tidak hanya tertarik kepada barangan yang ditawarkan, malah keramahan peniaga turut mempesonakan mereka.
Isyarat tangan
Seorang pelancong dari London, Patrick Bernard, 44, berkata, sepanjang membeli-belah di pesta itu, dia hanya menggunakan isyarat tangan sambil sesekali berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris.
"Lucu apabila saya teringat kembali ketika berada di sini. Ada peniaga yang mengelak daripada bertentang mata, tidak kurang pula menarik saya ke gerai mereka.
"Walaupun komunikasi kami terbatas dek perbezaan bahasa, mereka tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pesta yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari lalu.
Kemeriahan suasana makin terserlah apabila terdapat peniaga yang lantang memanggil pelanggan untuk mempromosikan produk dan ternyata tindakannya berkesan apabila ramai pengunjung mendekati tempatnya berniaga.

MASKOT Bela (tiga dari kanan) berlegar di Pesta Kabut bertujuan menarik minat masyarakat menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.


Bagi Ryan Mc Causland, 28, yang kali pertama berkunjung ke Malaysia, jualan but kereta di negaranya hanya melibatkan kelompok kecil dan kebanyakan barangan yang dipasarkan juga tidak berkualiti.
Lelaki yang berasal dari Australia itu memberitahu, kesemua barangan yang terdapat di Pesta Kabut kelihatan seperti baharu malah dijual pada harga yang sangat berpatutan.
"Saya ingin mencari sedikit cenderahati di pesta ini buat keluarga di Australia," ujarnya yang bercuti di Malaysia selama tiga hari.
Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, penganjuran Pesta Kabut dengan usaha sama Pertubuhan Pengurusan Pelanggan dan Pusat Perhubungan Malaysia (CCAM) itu berjaya mengumpulkan pelancong asing di pekarangan pesta itu.
Menyokong
Seorang peserta Syafina Zahara Asma Hussin, 23, menyokong penuh usaha CCAM menganjurkan program jualan but kereta yang diyakini mampu menjadi sebahagian daripada produk pelancongan negara.
"Lebih ramai peniaga adalah lebih bagus. Selain memberi pelbagai pilihan kepada pembeli, ia juga dapat mengumpulkan pelbagai barang yang pelik dan unik di tapak ini," jelasnya.
Kali pertama mengikuti program jualan but kereta, Syafina Zahara memuji pihak pengurusan kerana memilih Matic sebagai tapak pesta itu memandangkan ia merupakan lokasi strategik untuk menarik perhatian pelancong asing dan masyarakat tempatan.

SETIAP produk yang dipasarkan di Pesta Kabut dijual pada harga serendah RM5.


Sambutan
Sementara itu, Presiden CCAM, Mohd. Irwan Rizal bersyukur kerana sambutan daripada peserta jualan but kereta amat menggalakkan.
Menurutnya, penganjuran berkenaan dilihat menjadi medan peminat jualan but kereta berkumpul dan bersosial di antara satu sama lain.
Selain itu, katanya, kesemua mereka boleh memperoleh pendapatan sampingan dan menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, buat masa ini pesta tersebut hanya disertai peniaga di sekitar Lembah Klang.
"Kita sudah mempunyai beberapa senarai institusi dan badan bukan kerajaan yang akan menerima dana ini.
"Antaranya, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan 100 buah rumah anak yatim terpilih di sekitar Kuala Lumpur," katanya sambil memaklumkan pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM20,000 daripada aktiviti jualan, sumbangan peserta dan pengunjung.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: