Saturday, March 1, 2014

Kumpul duit pasang CCTV


  • Kumpul duit pasang CCTVAmran menunjukkan tabung masjid yang pernah menjadi sasaran pencuri sebelum ini.

KUALA NERUS – Dek kerana tidak tahan dengan kes kecurian barangan berasaskan besi dan tembaga, Jawatankuasa Masjid Al-Mustaqim, Gemuroh, di sini, terpaksa mengambil pendekatan memasang rakaman litar tertutup (CCTV) serta menggantikan peralatan seperti kepala paip besi kepada plastik.

Kes kecurian di kawasan masjid berkenaan yang dilaporkan berlaku hampir setiap minggu itu bukan sahaja mengundang masalah kepada jawatankuasa masjid, malah jemaah yang lain akibat ketiadaan kepala paip untuk mengambil wuduk, serta penutup longkang yang dilarikan penjenayah terbabit.

Bagaimanapun, setelah CCTV dipasang pada tahun 2012 lalu, masalah kecurian berjaya dikurangkan dan nyata langkah jawatankuasa masjid yang mengeluarkan belanja kira-kira RM3,000 untuk membeli peralatan keselamatan berbaloi.

Menurut pengerusinya, Amran Abdullah, selepas jawatankuasanya mengambil langkah untuk memasang CCTV di masjid berkenaan, kes kehilangan peralatan masjid berjaya diatasi.

“Sebelum ini, kita (jawatankuasa) sering dalam keadaan berjaga-jaga serta mengeluarkan belanja besar untuk menggantikan peralatan yang dicuri, tetapi kini kebimbangan sedikit berkurang kerana CCTV dipasang di semua sudut masjid serta laluan masuk ke kampung.

“Malah, tabung derma masjid juga antara ‘mangsa’ utama pencuri sebelum ini hingga kita terpaksa mengikatnya dengan menggunakan rantai besi yang besar, namun pencuri lebih bijak kerana mereka dapat membuka peti besi berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang jemaah, Razlan Aziz berkata, masjid itu menjadi persinggahan tetapnya setiap kali berulang alik dari Setiu untuk ke tempat kerjanya di Kuala Terengganu.

“Saya amat kesal dengan kes kecurian yang berlaku di masjid dan tidak seharusnya ia menjadi sasaran penjenayah untuk mencari ‘rezeki’ kotor sedemikian.

“Keprihatinan dan tanggungjawab semua pihak untuk menjaga keselamatan serta kebersihan kawasan masjid bukan menjadi tugas jawatankuasa masjid semata-mata, tetapi semua pihak,” katanya.

Katanya, dia turut memuji langkah jawatankuasa masjid berkenaan yang memasang CCTV untuk menangani masalah kecurian yang berleluasa di tempat ibadat itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: