KAWASAN belukar menghijau di kiri kanan jalan masuk ke kaki Bukit Chandu, Singapura tidak banyak berbeza dengan persekitaran yang sama kira-kira 72 tahun lalu.
Tanah tinggi yang terletak di selatan Singapura ini telah menjadi saksi keberanian perajurit Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (Askar Melayu) menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Pertempuran Bukit Chandu di Permatang Pasir Panjang turut mencatatkan nama wira negara, Leftenan Muda Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun.
Permatang Pasir Panjang sejauh kira-kira lima kilometer itu menjadi medan pertempuran Askar Melayu dan tentera Jepun pada 10 hingga 14 Februari 1942.
Di bukit ini jugalah Adnan bersama 42 anggota Platun 7, Kompeni C bersemadi tanpa kubur.
Sambil berdiri menghadap ke arah Lebuh Raya Pasir Panjang iaitu sebahagian daripada Lebuh Raya Pantai Barat Singapura, seolah-olah pertempuran Bukit Chandu terpampang di depan mata.
Sayup-sayup teriakan ‘Banzai!, Banzai!’ kendengaran dari arah kiri dan kanan bukit diselangi rentetan tembakan dan letupan silih berganti.
Walau Bukit Chandu dikelilingi hutan konkrit, namun kesan-kesan pertempuran yang pernah berlaku masih kekal.
Sebuah banglo kolonial dua tingkat di puncak bukit ini dibaik pulih oleh Lembaga Warisan Singapura (NHS) pada tahun 2002 dan dijadikan memorial Renungan di Bukit Chandu atau juga dikenali sebagai Reflections at Bukit Chandu.
Persekitaran bukit ini juga terpelihara baik. Menyusuri jalan kecil menaiki anak tangga untuk ke memorial sambil diiringi kicauan burung pantas membawa bersama ingatan terhadap pertempuran berdarah itu.
Pertempuran
Tugu gangsa tiga kru mortar Askar Melayu yang dibina oleh pihak NHS diletak menghadap ke arah barat seolah-olah sentiasa bersedia mempertahankan kedudukan bukit ini.
Paparan peta pertempuran tiga dimensi, rakaman audio saksi perang, foto-foto pameran bersama dokumentari perang dapat memberi gambaran terperinci kepada pengunjung tentang peristiwa Bukit Chandu.
“Memorial ini mengabadikan sejarah Perang Dunia Kedua di Singapura, khasnya perjuangan Leftenan Muda Adnan dan Askar Melayu,” ujar pengurus memorial, Vincent Gabriel, 73.
Katanya, banglo berusia lebih 100 tahun dengan seni bina Mock Tudor ini adalah satu-satunya banglo warisan British yang kekal di pulau ini.
“Banglo ini pernah digunakan sebagai stor simpanan peluru dan bekalan makanan Askar Melayu semasa perang.
“Tiga lagi banglo sama di sini bagaimanapun diruntuhkan pada tahun 1987 bagi tujuan pembangunan,” ujarnya.
Dia memberitahu, pertempuran Bukit Chandu dan keberanian Leftenan Muda Adnan amat penting dalam sejarah moden kota Singa itu.
Tarikh 15 Februari setiap tahun diingati di Singapura sebagai Hari Pertahanan Menyeluruh bagi memperingati kejatuhan pulau itu ke tangan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua.
Pada tarikh itu, tepat pukul 12.05 tengah hari siren dibunyikan selama seminit sebagai simbolik peringatan.
Mengikut catatan sejarah, pertempuran antara Askar Melayu dengan tentera Jepun bermula sebaik musuh mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong pada 8 Februari 1942.
Pada masa itu Batalion Pertama dan Kedua dikerah mengekang kemaraan musuh di situ.
Bagaimanapun, mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang berikutan serangan hebat tentera Jepun.
Pertempuran sengit antara kedua-dua belah pihak hanya bermula pada 13 Februari apabila Askar Melayu mengukuhkan pertahanan mereka di benteng terakhir tersebut.
Menurut Vincent, keberanian Askar Melayu dalam pertempuran itu membuka mata tentera British yang selama ini menganggap anak-anak tempatan tidak layak memegang senjata.
Kata beliau, pertempuran Pasir Panjang pada 10 dan 14 Februari itu merupakan pertempuran besar yang terakhir sebelum Singapura tewas.
“Briged Infantri Pertama Malaya yang terdiri daripada Batalion Pertama dan Kedua Kedua Askar Melayu diarah mempertahankan sektor barat dan selatan pesisir pantai.
“Bagaimanapun, kemaran pantas 13,000 tentera Jepun sehingga ke Jurong selepas berjaya mendarat di Kranji dan Sarimbun pada 8 Februari menyebabkan tentera British kucar-kacir.
“Menjelang 13 Februari, tentera Jepun memulakan serangan habis-habisan ke atas Pasir Panjang sehingga memaksa Askar Melayu berundur ke Bukit Chandu,” ujar beliau.
Ketika inilah, Adnan bersama platunnya bergerak ke barisan pertahanan baharu sebelah timur Pasir Panjang iaitu Bukit Chandu.
Kompeni beliau terpisah dengan kompeni D di sebelahnya oleh sebuah parit yang dipenuhi minyak terbakar yang mengalir dari Kem Normanton. Keadaan itu menyulitkan mereka untuk berundur ke selatan jika terdesak.
Dibedil
Kedudukan pertahanan mereka di atas tanah tinggi yang agak sederhana menggunakan guni-guni pasir dan dilaporkan masih ada beberapa kubu yang tidak sempat disiapkan ketika mereka digempur tentera Jepun.
Pertahanan platun Adnan dibedil pasukan mortar Jepun tanpa henti pada pagi Sabtu 14 Februari 1942.
Cubaan tentera Jepun yang diketuai komandernya, Kolonel Saburo mengasak pertahanan Askar Melayu dengan menyamar sebagai tentera Punjab pada tengah hari itu gagal lalu menimbulkan dendam.
Ketika ini, kedudukan kompeni ini semakin meruncing apabila ramai anggotanya terkorban dan tercedera, manakala bekalan peluru dan bom kehabisan.
Tan Sri Abdul Samad Idris dalam buku Askar Melayu 50 Tahun menulis: “...Adnan bertahan berhampiran pokok ceri yang rendah telah menjangka musuh akan membuat serangan balas.
“Tentera Jepun merapati kedudukan pertahanan Askar Melayu sambil dilindungi dengan tembakan mesingan dan mortar walau pun mendapat tentangan hebat.
“Sedikit demi sedikit tentera Jepun terus mengasak dan akhirnya berjaya mengepung kedudukan Askar Melayu yang bertahan.
“Dengan menghunus benet, tentera Jepun terpaksa bertempur secara berhadapan sebelum memaksa kemenangan di pihak mereka. Adnan yang cedera parah akhirnya tewas dalam pertarungan terakhir ini...”
Tidak sampai 24 jam selepas pertempuran ini, Pemerintah Tertinggi Tentera British, Leftenan Jeneral A.E Percival menyerah kalah tanpa syarat kepada Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: