Monday, March 10, 2014

Hanis, Aliff bermasam muka?


  • Hanis, Aliff bermasam muka?

BERGELAR artis tidaklah semudah yang dibayangkan. Untuk terlibat dalam dunia hiburan, seseorang itu bukan sahaja perlu memiliki bakat, malah harus mempunyai kekuatan mental serta tahap kesabaran yang tinggi.

Mana tidaknya, selain perlu bekerja keras menjadi yang terbaik, seseorang artis itu juga tidak akan terlepas daripada ancaman kontroversi.

Bukan kali pertama terpalit dengan cerita kurang enak, baru-baru ini dua pelakon muda iaitu Aliff Aziz dan Hanis Zalikha dikatakan saling bermasam muka ketika menjalani penggambaran drama Jodoh 2.

Menjelaskan keadaan yang sebenar, Aliff menafikan khabar angin itu dan menganggap ia hanya rekaan semata-mata.

“Memang kami kurang bercakap di set sebelum ini sebab mungkin waktu itu kami belum ada babak yang perlu dilakonkan bersama.

“Tapi tidaklah sampai bermasam muka, lagi pun saya baharu kenal dia dan tidak ada sebab untuk saya bertindak seper ti itu,” ujarnya.

Pada masa yang sama, Hanis juga pelik bagaimana cerita seperti itu boleh ditimbulkan.

“Saya memang pelik bila dengar perkara ini. Saya sendiri tidak tahu apa puncanya sedangkan kami memang tidak ada masalah.

“ Walaupun tidak banyak bercakap, tapi kami selalu luang masa bersama krew-krew lain pada waktu rehat sepanjang penggambaran berjalan,” jelasnya.

'Biarlah apa orang kata'- Aliff

Baharu sahaja reda dengan kisah percintaan yang tidak kesampaian, kini Aliff sekali lagi dikaitkan dengan seorang wanita.

Kisah ini bermula selepas beberapa keping foto mesranya bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Shazleen tersebar.

Tidak mahu menuding jadi pada mana-mana pihak, Aliff memberitahu perkara itu berlaku atas kecuaiannya sendiri.

“Sebenarnya, gambar tersebut dimuat naik daripada laman Instagram ibu Shazleen. Saya mengenali ibunya terdahulu kerana saya pernah dijemput untuk majlis tertutup yang dianjurkan keluarganya.

“Sejak itu saya rapat dengan ibunya dan secara tidak langsung saya mengenali Shazleen. Kebetulan pula, Shazleen memang minat lagu-lagu saya, mestilah ada perkara yang ingin dikongsi bersama,” jelasnya.

Aliff berkata, biarpun perkara itu telah memberi kesan buatnya, namun itu tidak bererti ia akan menjejaskan hubungan baik dengan keluarga wanita itu.

“Bila gambar pertama itu dimuat naik, saya telah jelaskan kepada Shazleen kesan dan sensitiviti gambar itu. Mungkin dia dan ibunya tidak tahu tindakan itu bakal mengundang kontroversi.

“Namun, saya tidak tahu mana silapnya, ada lagi beberapa keping gambar yang dimuat naik. Tapi saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana saya sangat menghormati mereka,” ujarnya.

Tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini, Aliff bagaimanapun tidak mahu menjelaskan lebih lanjut mengenai foto-foto itu.

“Sekarang semua gambar itu telah dipadamkan dan saya hanya anggap mereka tidak tahu apa kesannya. Saya harap perkara ini tidak dipanjangkan.

“Mengenai gambar itu pula saya tidak mahu komen sebab kalau saya buat penjelasan pun orang tidak akan percaya, jadi biarlah apa orang mahu kata,” katanya yang juga akui masih berhubungan baik dengan keluarga itu.

Album lebih matang

Bercerita mengenai kariernya, Aliff memaklumkan bakal tampil dengan album ke empatnya pada pertengahan tahun ini.

“Album kali ini sangat istimewa buat saya kerana menampilkan nama-nama yang hebat seperti Faizal Tahir, Panji Sakti dan Awi Rafael sebagai komposer.

“Selain itu juga dalam album ini saya mahu tonjolkan kematangan dan kebolehan saya dalam karier nyanyian.

“Sebagai seorang penyanyi, sebelum ini saya kurang berpuas hati dengan nyanyian sendiri, jadi untuk album ini saya mahu tampilkan kelainan,” katanya.

Selain itu, Aliff berkata, salah satu daripada lapan lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ‘Hari Ini’ menceritakan pengalaman percintaannya sebelum ini.

Kami berkawan rapat - Hanis

Walaupun akui hanya berteman rapat dengan aktor, Hairul Azreen namun kemesraan yang terjalin antara mereka sering menjadi perhatian umum.

Malah, ada dalam kalangan peminat mereka gembira jika keduanya menjalinkan hubungan cinta.

“Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, kami hanya berkawan rapat dan tidak lebih daripada itu.

“Kami berkenalan sejak sebelum masuk dalam industri lagi dan sebab itulah saya selesa berkawan dengannya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Hanis memberitahu dia tidak pernah meletakkan sasaran umur untuk mengakhiri zaman bujangnya.

“Sebelum ini saya mahu kahwin pada usia 20 tahun sama seperti ibu saya. Sebab saya juga mahukan anak yang ramai.

“Tapi sejak berkerjaya, impian itu berubah dan saya mahu lebih fokus pada kerjaya dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan,” katanya.

Belajar dari kesilapan

Bercerita mengenai pengalamannya menjalani penggambaran Jodoh 2, Hanis akui pada awalnya agak gugup menerima tawaran ini memandangkan drama itu pernah mendapat sambutan yang baik daripada penonton.

“Pada awalnya, saya agak risau mengenai penerimaan penonton untuk musim ke dua ini memandangkan musim pertama sudah ada pengikutnya yang tersendiri. Saya takut orang akan bandingkan.

“Tapi setelah diteliti, musim kedua ini tampilkan cerita yang berbeza, jadi sebab itulah saya terima tawaran ini,” katanya yang memegang watak sebagai gadis jodoh, Zara Zailan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: