|
BUKAN sekali tetapi sudah banyak kali penyandang tempat kedua dalam program realiti TV, Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Azhael dicop sebagai lelaki lembut.
Itu cabaran yang terpaksa dihadapi artis duo Azhael yang dianggotai oleh Mohd. Azhar Osman dan Hal Husaini Razmi selepas mereka keluar daripada pertandingan popular itu.
Sedar perkara itu berpunca daripada golongan pembenci (haters) mereka, Azhael mengakui berasa lega kerana para peminat kumpulan itu sejak menyertai AF2013 masih setia bersama mereka sehingga kini. Malah, peminat Azhael kini juga kian bertambah.
Ikuti temu bual Azhael bersama Kosmo! selanjutnya ketika ditemui pada majlis program Propaganza baru-baru ini. Selain itu, Mohd. Azhar juga bercerita tentang pengalaman berlakon sebuah telefilem manakala Hal Husaini pula berkongsi pengalamannya menjadi pengacara.
|
Kosmo!: Apakah cabaran yang Azhael hadapi selepas keluar AF2013?
AZHAR: Selepas AF2013 tamat, baru kami rasa dunia sebenar sebagai anak seni. Memang mencabar. Sebabnya, dulu Azhael hanya bersaing dengan rakan-rakan AF2013 tetapi sekarang kami kena bersaing dengan semua artis yang sedia ada.
HAL HUSAINI: Memang masa mula-mula keluar AF2013 dulu kami rasa canggung sebab orang sudah mengenali kami. Kami tidak boleh bebas memakai seluar pendek atau selipar ketika keluar rumah. Sekarang kena jaga penampilan sebab banyak mata yang memandang.
Kenapakah Azhael berasa canggung untuk memakai selipar dan seluar pendek ketika berada di luar rumah?
AZHAR: Kami pernah ditegur oleh peminat kerana berpenampilan begitu ketika keluar.
Apakah komen-komen negatif lain yang pernah Azhael terima?
HAL HUSAINI: Isu artis duo. Disebabkan kami artis duo dan rapat, ada yang persoalkan hubungan kami. Ada juga yang menuduh kami lelaki lembut.
Apakah perasaan Azhael selepas menerima komen-komen negatif tersebut?
AZHAR: Kami ambil komen-komen itu sebagai positif. Peminat-peminat kami tahu siapa Azhael sebenar. Kami rasa agak gembira juga sebab memperoleh pengalaman sebenar menjadi anak seni. Sebagai anak seni, kami bukan hanya mendapat pujian tetapi juga kritikan yang membina.
Apakah yang Azhael lakukan dengan komen-komen negatif itu?
HAL HUSAINI: Kami tidak bidas. Mulut orang, mereka boleh cakap apa yang mereka suka. Kami ambil benda ini secara profesional.
Bagaimana dengan sokongan peminat Azhael sekarang?
AZHAR: Alhamdulillah sokongan peminat Azhael semakin kuat, malah kelab peminat Azhael juga semakin bertambah ahlinya. Setakat ini kelab peminat Azhael, Team Azhael mencecah hampir 50,000.
Apakah aktiviti yang dianjurkan kelab Azhael untuk peminat?
AZHAR: Banyak aktiviti. Antaranya, main boling dan juga bercuti di Pulau Langkawi. Azhael merancang untuk menganjurkan aktiviti untuk peminat setiap bulan.
Apakah projek terbaharu Azhael dalam bidang seni?
HAL HUSAINI: Selepas single Hentian Terakhir mendapat sambutan, kami akan mengeluarkan single kedua pula. Masih belum mempunyai judul, single kedua itu dicipta oleh Omar K dan Audi Mok.
Cerita lebih lanjut mengenai sambutan yang diterima menerusi single pertama Azhael itu?
AZHAR: Kami tidak sangka Hentian Terakhir dapat sambutan hebat daripada peminat. Malah, lagu itu juga pernah menduduki juara carta lagu popular di radio beberapa kali. Kami berterima kasih kepada Team Azhael atas sokongan mereka.
Selain daripada menyanyi, adakah Azhael juga ingin menceburi bidang lain seperti berlakon atau mengacara?
AZHAR: Saya sebenarnya sudah merasai pengalaman berlakon sebuah telefilem berjudul Cinta Di Gerai. Saya membawa watak utama di samping pelakon Erin Malik dalam telefilem yang akan ditayangkan pada bulan Mac ini.
Bagaimana rasanya menjadi pelakon?
Saya rasa sudah cukup saya rasai pengalaman sebagai pelakon kerana ia memenatkan.
Adakah Azhar serik untuk berlakon lagi selepas ini?
Mungkin ini adalah kali pertama dan terakhir saya berlakon. Bagi saya, siapa sahaja yang ingin berlakon mereka kena ada jiwa dan mampu mengawal tekanan dan penat. Jiwa saya lebih ke arah muzik. Kalau ada tawaran selepas ini saya akan meneliti dahulu. Buat masa ini saya hanya ingin fokus menyanyi.
Bagaimana dengan Hal Husaini pula?
HAL HUSAINI: Saya pernah menjadi hos bersama dalam program Propaganza. Pengalaman baharu dan menarik yang saya rasai. Namun, saya juga seperti Azhar yang akan fokus kepada bidang nyanyian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: