|
MESKIPUN baru berumur 24 tahun, pelantun yang popular menerusi lagu Bahagiamu Deritaku itu tidak main-main dalam percintaan yang dibina sejak empat tahun lalu.
Bermula daripada bertegur sapa, salam perkenalan tersebut berubah menjadi sebuah perhubungan yang serius.
Malah, pemilik nama sebenar, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau lebih mesra disapa sebagai Hafiz Suip sedia memperisterikan wanita yang bertakhta di hatinya itu sekiranya ada jodoh antara mereka.
Bagaimanapun, menurut penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu, masih terlalu awal bagi dirinya untuk mendedahkan identiti wanita tersebut.
“Saya menghormati privasinya sebagai pelajar jadi saya tidak mahu mengganggu pengajiannya. Sejujurnya saya gembira untuk menyatakan bahawa dia satu-satunya wanita yang bertakhta dalam hati. Saya serius tentang hubungan ini. Andai kata dia memang ditakdirkan untuk saya, barulah selesa identitinya dikongsikan bersama peminat,” katanya yang lebih selesa berbicara soal kerjaya daripada menjaja kisah cinta.
Tutur Hafiz, dia juga menyenangi wanita tersebut kerana si dia bijak menghormati orang yang lebih berusia.
“Selain itu, dia juga sentiasa mengambil berat tentang diri saya selain memahami kerjaya saya sebagai anak seni yang sentiasa dihimpit jadual kerja yang padat.
“Hubungan yang terjalin juga mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak. Bagi saya, restu keluarga amat penting kerana merekalah segala-galanya untuk saya,” tambah Hafiz yang buat pertama kalinya diundang untuk menghiburkan para setiausaha dalam sebuah persembahan Minggu Setiausaha bersama Adira dan Afdlin Shauki.
Tiket Hafiz RM780
Program yang bakal berlangsung di Dewan Megah, Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur itu dijadualkan pada 22 April depan.
Bertemakan A Golden Moment With Hafiz anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn. Bhd., persembahan itu juga bakal menjadi acara yang dinanti-nantikan peminat Hafiz.
|
Meskipun sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian, juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu berasakan masih banyak persediaan yang harus dilakukan bagi memastikan acara tersebut berjalan dengan lancar.
“Sebelum ini saya hanya menyanyi tetapi kali ini saya harus menghiburkan tetamu yang hadir.
“Saya akan mempersembahkan 10 buah lagu yang memerlukan persediaan awal. Antaranya adalah bagaimana untuk saya memulakan perbualan sewaktu majlis itu nanti.
“Saya akui sebagai seorang penghibur saya perlu mempunyai kemahiran untuk mengendalikan majlis seperti ini. Saya akan belajar cara berinteraksi dengan penonton melalui laman sosial YouTube sebagai persediaan persembahan itu nanti,” kata Hafiz yang bakal menampilkan single baharunya pada persembahan itu nanti.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah COOP Matrade, Hazlinda Anwar menyifatkan pemilihan Hafiz dan Adira sebagai sebuah gabungan penyanyi baharu yang mempunyai potensi luar biasa.
“Hafiz dan Adira merupakan pelapis muda masa depan. Mereka memiliki sinergi yang bagus.
“Pihak kami begitu teruja dan menyokong mereka sebagai darah baharu dalam industri muzik yang akan memberikan kelainan untuk penganjuran kali ini,” katanya.
Tiket boleh didapati pada harga serendah RM580 seorang manakala tiket paling mahal mencecah harga RM780 seorang. Tempahan tiket boleh dibuat menerusi talian 03-92005526 atau 012-2013501.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: