Monday, March 10, 2014

Gitar ikut cita rasa sendiri


SELAIN tempahan, Guitar Hospital juga menawarkan perkhidmatan pembaikan dan pengubahsuaian pada gitar elektrik dan akustik.


BONGKAH kayu pelbagai jenis disusun rapi di bahagian belakang galeri. Perlahan-lahan bongkah sepanjang tiga meter itu diambil dan dipotong menggunakan sebuah mesin sehingga ketebalan antara 42 hingga 45 milimeter.
Penggunaan mesin pemotong itu merupakan salah satu langkah terbaik bagi Raymond Choo Yee Thon, 33, untuk mendapatkan ukuran yang tepat dalam menghasilkan sebuah gitar.
Selesai sahaja kerja-kerja pemotongan, Raymond menggabungkan kayu-kayu berkenaan untuk membentuk badan gitar.
Menurutnya, sebuah gitar elektrik akan menggunakan kira-kira lima hingga 17 kepingan kayu.
"Kebiasaannya saya menggunakan kayu mahogani, ash, alder dan bass yang diimport dari Afrika Selatan.
"Kebanyakan kayu tersebut merupakan kayu tua yang berkualiti tinggi dan amat sesuai bagi pembikinan sebuah gitar," jelasnya ketika ditemui Kosmo! di galeri Guitar Hospital yang terletak di Taman Desa Aman, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Raymond merupakan pemilik galeri tersebut yang menawarkan perkhidmatan pembuatan gitar tempahan khas.
Galeri Guitar Hospital yang juga menjadi tumpuan peminat muzik itu turut menawarkan perkhidmatan membaiki peralatan muzik berkenaan.
Cetusan idea
Mula beroperasi sejak empat tahun lalu, Raymond boleh berbangga dengan pencapaian perniagaan dan kemahiran yang ada setakat ini.
Pada permulaan kariernya, dia hanya menawarkan perkhidmatan membaiki gitar.
KID SEARCH (kiri) memberi pujian terhadap ketelitian hasil kerja Raymond dalam menghasilkan gitar yang memenuhi cita rasanya.


Namun, setelah setahun, dia meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan dengan memperkenalkan servis pembuatan gitar elektrik tempahan khas kepada rakan-rakan terdekat.
"Ketika zaman remaja, tiada pusat khusus yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan membaiki gitar.
"Keadaan itu telah mencetuskan idea penubuhan Guitar Hospital. Boleh dikatakan perniagaan ini satu impian yang menjadi kenyataan," katanya.
Dia menambah, sebelum serius dalam bidang pembuatan gitar, pada tahun 2008, usahanya dimulakan dengan menjual gitar yang diimport dari China.
"Kebanyakan gitar itu mempunyai masalah teknikal sehingga menyebabkan pelanggan merungut.
"Justeru, saya cuba untuk menghasilkan gitar sendiri sebagai pilihan lain kepada pelanggan," jelasnya.
Menceritakan sedikit latar belakang kehidupannya, Raymond berkata, beliau sebelum ini merupakan seorang pemain gitar dalam sebuah kapal persiaran.
"Selama lima tahun saya mengembara ke seluruh dunia dan memperoleh banyak pengalaman terutamanya mengenai instrumen muzik ini," ujarnya.
Tambah beliau, sewaktu bermastautin di Amerika Syarikat (AS), dia telah mempelajari teknik pembuatan gitar daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Jerry, 60.
"Di AS dan Kanada, gitar tempahan khas mendapat permintaan yang tinggi. Malah, perkhidmatan itu juga menjadi tawaran utama kebanyakan galeri gitar di sana.
"Jerry banyak mengajar saya agar menggabungkan elemen-elemen yang diterapkan dalam jenama gitar terkemuka seperti penggunaan perangkap bunyi (pickup), rekaan leher dan badan instrumen dalam pembuatan gitar tempahan khas," jelasnya.
PEKERJA Guitar Hospital menguji intonasi bunyi gitar sebelum diserahkan kepada pelanggan.


Ton bunyi
Menurut Raymond, kebanyakan pelanggan Guitar Hospital mahukan sebuah gitar yang mengikut cita rasa sendiri.
"Pelanggan boleh memilih ton bunyi berdasarkan genre muzik yang mereka minati. Namun demikian, kakitangan kami akan turut membantu dan memberi cadangan terbaik kepada pelanggan," ujar lelaki yang juga merupakan seorang pemuzik jemputan dalam konsert artis popular Hong Kong dan Taiwan.
Raymond menjelaskan, perbezaan ton bunyi pada sesebuah gitar elektrik bermula daripada proses pembuatan instrumen berkenaan.
"Gitar berjenama yang dijual di pasaran seperti Gibson dan Fender mengggunakan bahagian teras kayu yang dikeringkan secara semula jadi selama lebih 10 tahun di kilang luar negara.
"Disebabkan itu, jenama gitar tersebut dijual pada harga yang mencecah puluhan ribu ringgit," katanya.
Tambah beliau, ton gitar yang dibuat daripada kayu berkualiti juga dapat dikenal pasti terutamanya apabila instrumen itu dimainkan.
Memaklumkan bahawa gitar-gitar yang dihasilkan Guitar Hospital adalah berjenama Ray C, Raymond berkata, kayu-kayu yang digunakan biasanya dikeringkan dalam tempoh lima tahun.
Selain pembuatan dan ukiran gitar yang dibuat secara manual, beliau turut dibantu oleh enam orang kakitangan yang menggunakan mesin komputer kawalan berangka bagi memudahkan proses pembentukan rekaan sesebuah gitar.
"Bentuk sesebuah badan gitar bukanlah kayu pengukur kepada penghasilan bunyi yang bagus dan keselesaan ketika memainkan alat muzik ini.
"Sebaliknya ia turut bersandarkan proses pembuatan yang baik dan penggunaan komponen elektronik yang berkualiti," jelasnya.
Dia menambah, selain tumpuan pada badan gitar, bahagian leher gitar yang merangkumi fret iaitu bilah penentu ruang nada dan tombol penalaan tali diperbuat daripada kayu hitam, mapel dan rosewood yang padat juga diberi penekanan.
"Sesetengah bentuk gitar mempunyai rekaan badan dan leher yang bersambung. Manakala ada juga yang menggunakan skru dan gam untuk mencantumkan kedua-dua bahagian tersebut," jelasnya.
Kawalan kualiti
Meskipun baru berusia empat tahun, Guitar Hospital memperoleh tempahan gitar yang memberangsangkan.
Menurut pemiliknya, tempoh untuk menghasilkan sebuah gitar tempahan khas biasanya mengambil masa kira-kira dua bulan dan dijual pada harga RM7,000 ke atas.
Memandangkan perangkap bunyi merupakan komponen utama yang menentukan ton bunyi gitar, kebanyakan gitar yang dihasilkan Guitar Hospital menggunakan perangkap bunyi berjenama seperti Seymour Duncan, DiMarzio dan EMG.
Seorang pelanggan Guitar Hospital, Amirul Ardi Mohd. Ghazali, 32, berkata, perkhidmatan yang disediakan galeri itu menepati cita rasanya sebagai seorang pemain gitar.
Dia yang telah menghantar sebuah gitar elektrik Ibanez RG ke Guitar Hospital untuk melakukan sedikit penambahbaikan pada bahagian kepala gitar (head stock) ternyata berpuas hati mutu kerja yang diberikan.
"Saya meminta agar bahagian itu ditukar kepada bentuk seakan-akan rekaan gitar jenama Ernie Ball Music Man dengan memberi lakaran rekaan kepada mereka.
"Setiap ukiran dan bentuk ubah suai yang dihasilkan sempurna tanpa sebarang cacat cela," katanya sambil memberitahu beliau tidak kisah membelanjakan RM1,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian itu kerana percaya akan kepuasan yang dikecapi.
Amirul Ardi menambah, dia juga sering mendapatkan nasihat teknikal dan perkhidmatan penyelenggaraan gitar di galeri berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Guitar Hospital, Steven Chee Kah Weng, 26, memberitahu, gitar yang ditempah oleh pelanggan mempunyai jaminan seumur hidup dan pihak galeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap instrumen itu.
Namun demikian, menurutnya, jaminan itu bergantung kepada keadaan dan masalah yang berlaku kepada gitar itu selepas ia bertukar tangan kepada pelanggan.
"Sekiranya kerosakan berlaku kerana kecuaian pelanggan, pihak kami tidak akan bertanggungjawab atas perkara itu.
"Sekiranya pelanggan menghantar gitar mereka untuk diubah suai atau membaiki bahagian kayu gitar, jaminan selama tiga tahun diperuntukkan," jelasnya.
Steven menambah, pihak Guitar Hospital juga memperuntukkan jaminan selama tiga bulan bagi gitar yang dihantar untuk tujuan penyelenggaraan.
"Perkhidmatan kami tidak terhenti apabila gitar yang ditempah telah diambil pemiliknya. Malah, kami memantau kualiti dan keadaan gitar terlibat dengan menghubungi pelanggan dalam tempoh yang dipersetujui," jelasnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: