Monday, March 3, 2014

Aeril Zafrel kini lebih tenang


AERIL mengakui dia dan isteri kini dalam proses mendalami ilmu keagamaan.


SELEPAS kontroversi yang membadai pelakon kacak, Aeril Zafrel dan isterinya, Wawa Zainal ekoran tindakan mereka menyembunyikan perkahwinan pada tahun lepas, pemilik nama sebenar Suhairil Suhairi itu kini dilihat tampil di hadapan khalayak dengan lebih tenang.
Dia yang mengambil langkah untuk berdiam diri itu kini dilihat semakin matang dan berhati-hati dalam membawa diri sebagai seorang ikon hiburan tanah air.
Kehadiran orang baharu atau cahaya mata mereka, Ahmad Fakhruddin Attar yang kini berusia enam bulan dalam kehidupannya, sedikit sebanyak telah mematangkan pelakon berusia 27 tahun itu.
Aeril yang tampil seorang diri pada malam acara Festival Drama Kuala Lumpur (FDKL) baru-baru ini, tenang menjawab persoalan wartawan mengenai pengalaman pertamanya selepas bergelar seorang ayah.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang pernah membintangi filem Hanya Aku Cinta Kau Seorang (Hacks) itu.
Kosmo!: Bolehkah Aeril cerita sedikit mengenai pengalaman bergelar seorang ayah?
AERIL ZAFREL: Saya akui sejak kehadiran cahaya mata kami, komitmen yang tinggi sangat diperlukan. Berbanding kehidupan zaman bujang dahulu, kehidupan saya kini lebih tenang dan teratur. Saya juga masih dalam proses pembelajaran dalam hal yang berkaitan kekeluargaan.
Memandangkan Aeril kini sibuk di set penggambaran, siapakah yang menjaga anak dan isteri anda?
Ibu dan mertua saya bergilir-gilir menjaga isteri saya dan anak saya, namun jika mempunyai kelapangan, saya juga akan turut menjaga mereka dan menyediakan kelengkapan untuk mereka.
Adakah Aeril akan membenarkan Wawa berlakon semula setelah bergelar ibu?
Ya, saya tidak mahu menghalang dia (Wawa Zainal) daripada berlakon. Namun, buat masa sekarang biarlah dia berehat dahulu.
Bolehkah ceritakan sedikit pengalaman Aeril dan isteri bercuti di London baru-baru ini?
Ia merupakan pengalaman bermakna buat kami, sepanjang 10 hari di sana, kami melawat banyak tempat bersejarah dan insya-Allah, pada masa akan datang kami merancang bercuti ke Indonesia apabila anak saya sudah besar sedikit.
Bagaimanakah tawaran lakonan yang diterima setakat ini?
Alhamdulillah, tawaran untuk berlakon buat masa sekarang tidak putus-putus. Namun bagaimanapun, saya juga memilih tawaran berlakon yang diterima. Jika skrip dan watak yang sesuai, saya akan menerima tawaran tersebut.
Perkembangan terbaharu Aeril?
Kini saya ingin tumpukan sepenuh perhatian saya kepada isteri. Dalam masa yang sama, saya juga sedang bersedia dengan penggambaran filem yang akan bermula sekitar bulan Mac dan April ini.
Apakah perancangan masa hadapan Aeril selain bidang lakonan?
Selain kerjaya sebagai pelakon saya juga bercadang membuka perniagaan berasaskan produk kesihatan. Namun ia masih dalam perancangan lagi. Produk kecantikan tersebut menggunakan bahan yang berasaskan organik daripada Korea.
Adakah kontroversi yang melanda Aeril dan isteri memberi pengajaran kepada anda?
Ya. pengalaman tersebut merupakan pengalaman yang paling banyak mengajar saya untuk menjadi seorang yang tabah dalam menghadapi liku-liku kehidupan bergelar seorang artis. Saya dan isteri mengambil keputusan untuk berdiam diri dan dan saya juga jarang menghadiri majlis-majlis yang tidak mempunyai kaitan dengan saya.
Adakah Aeril sedang mendalami ilmu agama?
Ya, saya dan isteri kini sedang mendalami ilmu agama. Saya berasa lebih tenang dengan kehidupan selepas saya mendalami ilmu agama.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: