|
SEGALA kekalutan dan kekusutan berakhir dengan terbongkarnya perkahwinan rahsia antara pelakon Wawa Zainal dan Aeril Zafrel pada Oktober tahun lalu.
Selepas menerima pelbagai tohmahan, kini mereka berdua bebas menjalani kehidupan suami isteri bersama cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar yang berusia enam bulan dengan tenang.
Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Wawa Zainal atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 23, di acara ulang tahun pertama Femes Baazar di Tierra Crest Kelana Jaya, Selangor Sabtu lalu.
Tidak kekok melayani soalan pihak media yang bertubi-tubi, Wawa yang hadir dengan busana berwarna coklat lembut hanya tersenyum manis pada setiap mata yang memandangnya.
Saat diajukan soalan tentang kehidupannya selepas perkahwinannya diketahui umum balas Wawa, terdapat hikmah sebalik apa yang berlaku dan dia kini cukup bahagia dengan apa yang dimilikinya hari ini.
"Hikmah sebalik apa yang berlaku, sekarang ini saya bebas untuk berjalan ke mana-mana bersama anak dan suami. Tidak perlu bimbang pandangan orang lain," katanya.
Mengakui fikirannya agak kusut ketika kontroversi perkahwinannya sedang hangat diperkatakan tahun lalu, kini dia enggan menoleh ke belakang dan tidak menyesal dengan keputusan berkahwin muda saat namanya sedang melonjak naik.
"Saya sudah tidak mahu pandang ke belakang lagi, sebaliknya saya mahu pandang ke hadapan dengan penuh positif.
"Apa yang sudah lepas biarlah ia berlalu kerana saya tidak menyesal berkahwin muda. Ini pilihan yang tepat dan terbaik kerana sekarang saya cukup tenang serta bahagia.
"Kalau orang kata tidak menyesal kahwin muda kerana terpaksa pikul tanggungjawab isteri dan ibu sedangkan kawan-kawan yang lain sedang berseronok. Jawapannya, saya sudah puas menjalani kehidupan remaja, saya tidak akan menyesal dengan keputusan yang saya buat," ujarnya.
Tentang isu artis yang bercadang untuk berkahwin secara rahsia, Wawa menegaskan supaya jangan mengikuti jejak langkahnya.
"Sejujurnya saya tidak tahu beri nasihat pada orang lain, apa yang boleh saya cakap tidak perlu jadi seperti saya. Perkahwinan lebih baik diberitahu kerana ia akan memudahkan semua perkara," ucapnya.
Ditebak adakah dia menyimpan dendam terhadap pihak media kerana membongkarkan perkahwinan rahsianya, Wawa hanya tersenyum lalu menjawab: "Saya tidak berdendam, lumrah sebagai anak seni, saya terima dengan redha."
Kerjaya diuruskan suami
Bercakap tentang kehidupan rumah tangganya, akui Wawa, berat badannya menurun daripada 48 kilogram kepada 40 kilogram akibat kepenatan menjaga anak lelakinya, Attar yang kini sedang lasak.
"Memang penat sebab itu saya semakin kurus. Sekarang Attar sudah enam bulan dan agak lasak, jadi saya harus memberi lebih perhatian kepadanya.
"Alhamdulillah, ibu saya yang menetap di Sabah kini tinggal bersama saya untuk membantu menjaga Attar kerana saya sudah mula sibuk bekerja," katanya.
Seronok dengan tugas sebagai ibu dan isteri, Wawa lebih banyak menghabiskan masa di rumah daripada bekerja.
"Selepas apa yang berlaku saya agak diam tetapi sebenarnya saya menghabiskan masa bersama anak saya dan suami. Saya bukan lari atau menghilangkan diri seperti yang didakwa," tuturnya.
Mula bertudung sejak sidang akhbar pengumuman pengesahan perkahwinannya pada tahun lalu, Wawa menerangkan dia tidak lagi berada di bawah pengurusan Metrowealth sebaliknya kerjayanya kini diuruskan oleh suaminya, Aeril.
"Saya bukan lagi di bawah pengurusan Metrowealth. Bukan kerana kami bergaduh dan saya tidak melanggar kontrak. Pihak saya dan pihak Metrowealth sudah mencapai persetujuan untuk saya keluar secara baik sejak bulan Disember tahun lalu.
"Sekarang segala urusan kerjaya diuruskan oleh suami saya sendiri di bawah syarikatnya Respected Citizen. Jadi, segala tawaran adalah melalui suami saya sendiri," katanya.
Tambahnya, meskipun sudah berumah tangga, minatnya dalam dunia lakonan masih menebal. Selepas agak lama menyepi, kini Wawa bersedia untuk kembali aktif seperti sebelum ini.
"Sebelum ini anak saya kecil lagi, sekarang sudah besar sikit jadi bolehlah saya bekerja. Lagipun, minat saya terhadap lakonan tidak pernah padam.
"Cuma selepas bertudung banyak batas harus dijaga dan saya harus meneliti watak sebelum menerima sebarang tawaran. Setakat ini, rezeki lakonan saya tidak pernah putus," beritahunya.
Menariknya, Wawa dan Aeril turut berlakon bersama dalam filem 354 Nafas terbitan syarikat Aeril dan diarahkan oleh Azhari Zain.
Kata Wawa, mereka lebih senang andai menerima tawaran untuk berlakon bersama dalam mana-mana karya selepas ini.
"Bagi saya sebenarnya lebih senang kalau berlakon dengan suami sendiri. Ada juga yang memberi tawaran untuk kami berlakon bersama dalam sebuah drama, tetapi pihak kami masih berbincang lagi," ujarnya.
Ceburi bidang perniagaan
Dalam diam Wawa kini dilantik menjadi duta kepada Butik Minaz yang terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor. Tidak menyangka tawaran itu datang selepas peristiwa yang berlaku, Wawa menganggap rezeki yang datang adalah untuk anaknya.
"Sebenarnya dalam bulan Januari saya dilantik menjadi duta Butik Minaz. Selain sebagai duta, saya juga sebagai rakan kongsi butik ini," ucapnya.
Walaupun rezeki lakonan tidak pernah putus, Wawa dan Aeril kini sedang merancang untuk melancarkan satu produk bagi menjamin masa depan anak serta keluarga mereka.
"Kami tidak boleh harap kerja dalam bidang seni sahaja untuk jaminan masa depan kami sekeluarga. Sebab itu kami rancang untuk keluarkan satu produk, apa produknya saya tidak boleh beritahu kerana masih terlalu awal.
"Apa yang boleh saya beritahu, ini adalah langkah awal untuk kami menceburi bidang perniagaan. Mungkin selepas ini kami sudah tidak popular, kami ada perniagaan sebagai pendapatan," terangnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: