Saturday, March 2, 2013

Kecantikan Masjid Biru, keagungan Hagia Sophia


MASJID Hagia Sophia mempunyai nilai-nilai sejarah agung yang menceritakan mengenai perubahan kuasa pemerintah di Turki.


PERCUTIAN saya bersama ahli keluarga pada bulan Disember tahun 2010 di Amsterdam terpaksa ditangguhkan kerana keadaan musim sejuk di kebanyakan negara Eropah berada di puncak.
Dengan suhu yang mencecah 8 hingga 11 darjah Celcius di bawah paras beku, tidak banyak tempat pelancongan yang dapat kami lawati sepanjang tiga hari kami berada di ibu kota Belanda itu.
Selaku ketua yang bertanggungjawab dalam penjelajahan kami di negara itu, abang saya telah mengubah perancangan pelancongan kami dengan memilih Istanbul, Turki.
Perancangan itu ternyata dilakukan dalam masa yang singkat ketika hari ketiga kami di Amsterdam dan dipersetujui oleh ahli keluarga.
Penerbangan dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol dengan menaiki Turkish Airways ke Istanbul itu mengambil masa tiga jam merentasi beberapa negara buah Eropah yang lain seperti Jerman, Croatia, Austria dan Bulgaria.
Sepanjang seminggu kami berada di ibu kota Turki, kami menginap di Hotel Marmara Istanbul yang terletak di tengah-tengah ibu kota Istanbul bagi memudahkan perjalanan kami sekeluarga untuk menjelajah kota yang kaya dengan nilai-nilai kebudayaan dan sejarah itu.
Hotel tersebut dikelilingi Terminal Bas Esenler, galeri beli-belah pelbagai jenama antarabangsa dan restoran yang menyajikan masakan tradisional Arab.
Masjid Biru
Di sana, saya lihat makanan masyarakat Istanbul lebih kurang seperti makanan di Malaysia. Mereka menjadikan nasi sebagai makanan ruji dan ada juga yang makan roti.
Menjelang hari kedua percutian, kami telah merancang untuk melawat dua masjid terkenal di ibu kota Istanbul iaitu Masjid Sultanahmet dan Masjid Hagia Sophia.
Perjalanan kami ke Masjid Sultanahmet dari hotel mengambil masa lebih kurang 30 minit dengan menaiki van yang dipandu oleh pemandu pelancong.
Sepanjang perjalanan itu, van yang kami naiki melalui lorong-lorong kecil berbukit-bukit. Lebih menarik, jalan tersebut diperbuat daripada batu-batu blok.
Sampainya kami di masjid tersebut, van terpaksa diparkir sejauh satu kilometer (km) dari masjid. Keindahan taman serta tumbuh-tumbuhan di sekeliling masjid itu membuatkan saya tidak merasa penat walaupun terpaksa berjalan kaki ke masjid itu.
Masjid Sultanahmet mempunyai kawalan yang ketat oleh pengawal keselamatan.
Sempat juga saya menunaikan solat sunat tahiyatul masjid walaupun keadaan di dalam masjid itu penuh dengan pelancong.
Masjid tersebut mempunyai empat blok bangunan yang berbeza. Kawasan lapang ditengah-tengah masjid menjadi medan pertemuan setiap jemaah atau pelancong untuk ke setiap satu bangunan di dalam masjid itu.
Apa yang menarik perhatian saya mengenai masjid yang dibina pada tahun 1609 hingga 1616 itu ialah struktur batu-bata yang menghiasi segenap dinding dalam dan luaran masjid itu.
Walaupun tanpa sebarang warna, ia kelihatan berwarna biru apabila dilihat dari jauh. Oleh sebab itu, masjid tersebut juga terkenal dengan panggilan Masjid Biru oleh masyarakat di Istanbul.
Kesan penjajahan
Selepas seharian berada di masjid itu, kami mahu meneruskan perjalanan ke sebuah lagi masjid yang terletak lebih kurang satu km dari Masjid Sultanahmet iaitu Masjid Hagia Sophia.
Namun, hasrat kami terbatal apabila kami diberitakan oleh pemandu pelancong bahawa masjid tersebut ditutup untuk kunjungan pelancong disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan dan ia kembali dibuka pada keesokan harinya.
Hari yang seterusnya, awal pagi lagi kami bergegas ke masjid Hagia Sophia atau ia disebut AyaSofya oleh masyarakat setempat. Di pekarangan masjid itu, terdapat gerai-gerai yang menjual pelbagai cenderamata seperti alatan muzik trumpet dan kain mafela.
Saya berpeluang membeli sejenis kopiah yang dipakai oleh masyarakat di sana iaitu tarbus. Harga tarbus buatan Turki itu dijual pada harga RM7 (4Lira) untuk kanak-kanak dan RM15 (9Lira) untuk dewasa.
Sempat juga saya membaca sejarah mengenai Hagia Sophia sebelum menjejakkan kaki ke dalam masjid itu.
Masjid berkenaan dibina oleh Maharaja Justinian daripada Empayar Roman pada tahun 537.
Selama 900 tahun, ia menjadi pusat atau gereja kepada penyebaran agama Kristian ortodoks di Turki sehingga ia diambil oleh kerajaan Islam, Empayar Uthmaniyyah pada tahun 1453 sekali gus menukarkan gereja tersebut sebagai masjid untuk umat Islam.
Suasana Masjid Hagia Sophia tidak seperti di Masjid Sultanahmet. Di situ, pelancong dilihat berpusu-pusu masuk ke dalam masjid dan kawalannya juga tidak seketat Masjid Biru. Orang bukan Islam dilihat masuk ke dalam masjid itu tanpa mengenakan pakaian menutup aurat.
Saya terkejut melihat dinding masjid itu dipenuhi dengan lakaran gambaran Nabi Isa atau Jesus dan lambang-lambang salib. Namun, kebanyakannya lambang salib itu telah dikikis dan hanya tinggal gambaran Nabi Isa sahaja.
Saya juga berkesempatan ke tingkat dua masjid itu melalui tangga gelap seperti sebuah gua yang diterangi dengan obor pada setiap penjuru tangga. Di tingkat atas, banyak lagi monumen tinggalan Kristian yang masih belum dihapuskan.
Saya tidak merasakan seperti berada di dalam sebuah masjid sebaliknya ia bagaikan sebuah muzium. Perasaan itu bagaimanapun dapat dibendung apabila melihat kalimah Allah dan Muhammad yang tergantung pada ruang solat masjid itu.
Selain daripada dua masjid itu, sepanjang seminggu berada di Istanbul, kami juga sempat berkunjung ke bahagian benua Asia negara tersebut dengan menyeberangi jambatan Sungai Bosphorus yang menjadi pemisah antara dua benua.
Turki terbahagi kepada dua benua iaitu benua Eropah dan Asia. Di sana, saya melihat perbezaan susun atur bangunan dan perumahan yang lebih padat, namun lebih teratur jika dibandingkan dengan pada bahagian benua Eropah.
Kami juga berkesempatan untuk menikmati hidangan roti nan dengan saiz yang lebih besar jika dibandingkan dengan roti itu di tanah air beserta dengan kuah herba.

1 comment:

  1. BLOG ANDA SANGAT BAGUSSS...
    MANFAATKAN BLOG ANDA UNTUK MENGHASILKAN UANG...

    DIBUTUHKAN BANYAK KARYAWAN/TI GAJI 15JT/BLN
    Add http://www.facebook.com/peluangkerjaonline
    1. Penawaran Gaji pokok 2 jt/bln
    2. Segala Jurusan SMU, SMK, D1, S1 dll
    3. Kerja Secara Online
    4. Per Entry Anda dibayar 10 Rb Rupiah, Bila Sehari Anda Sanggup Meng’Entry 50 Data Maka Gaji Anda 10RbX50Data=500Rb Rupiah/Hari. Dalam 1 Bulan 500RbX30Hari=15Juta/Bulan.
    5. Tugas dpt dikerjakan melalui HP, Warnet, dll (yg trhubung dg internet)
    6. Cara Pendaftaran: Kirim Nama & Alamat Email anda MELALUI WEBSITE Kami dibawah iklan ini, kemudian klik menu "Join Now" & isi form pendaftaran anda, lalu cek email anda utk verifikasi keanggotaan.
    http://newkerjaonline2013.blogspot.com/

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: