Tuesday, August 23, 2011

Usia bukan halangan Surya


Surya Ardila Akhiroeddin


JIKA dilihat pada usianya, siapa sangka gadis semuda itu sudah mempunyai bukan satu bahkan dua premis perniagaan sendiri.

Surya Ardila Akhiroeddin, 25, sememangnya seorang gadis bertuah kerana selain mempunyai diploma dalam jurusan perniagaan, dia dilahirkan dalam keluarga yang suka berniaga.

Bermula daripada bapanya yang mengusahakan sebuah restoran dan merupakan seorang tukang jahit, diikuti oleh kakak serta abang-abangnya yang masing-masing bergelar usahawan

Sememangnya amat meminati bidang perniagaan, Surya atau lebih mesra dengan panggilan Su terlebih dahulu menimba pengalaman dengan bekerja bersama kakaknya.

Kakaknya yang menjual kain pasang, telekung, kain batik dan sebagainya juga dilihat sebagai seorang usahawan wanita berjaya apabila mempunyai lebih daripada dua premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur.

Anak keempat daripada lapan beradik itu sebenarnya mula didedahkan dengan dunia perniagaan sejak kecil lagi.

Ini memberi kelebihan kepada Su serta adik-beradiknya yang lain dan secara tidak langsung ia memudahkan cita-cita mereka untuk bergelar usahawan.

Turut memilih untuk berniaga kain, Su telah mengeluarkan modalnya sendiri tanpa meminjam dari mana-mana institusi kewangan.

"Dilahirkan dalam keluarga yang suka berniaga, secara tidak langsung ia memberi tempias kepada saya.

"Jika hendak bercakap sejak bila saya mula berniaga, sebenarnya dari kecil lagi saya telah didedahkan dengan berniaga dan kebetulan minat memang ada, jadi saya teruskan.

"Alhamdulillah, sebelum berniaga sendiri, saya banyak membantu kakak dan ini sedikit sebanyak memberi 'kredit' kepada saya untuk menerajui perniagaan sendiri," ujarnya ketika ditemui di premisnya di Lot No. 8, Crystal Arked, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Su lagi, kedainya beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam kecuali hari Sabtu ia ditutup pada pukul 10 malam.

Hari ini, dengan bantuan dua orang pekerja, Su mampu mengendalikan perniagaannya tanpa sebarang masalah.

Banyak mengimport produk dari China, Jakarta dan Bukit Tinggi, Indonesia serta Vietnam, Su turut menjalankan perniagaan secara borong.

Bukan itu sahaja malah dia turut mempunyai pelanggan tetap dari seluruh negara yang terdiri daripada kakitangan kerajaan yang sering mengambil produknya untuk dijual di kalangan rakan-rakan sekerja.

Antara produk yang boleh didapati di kedai Su ialah kain ela (pelbagai jenis), telekung, kain batik dan kain pelikat.

Bagi Su, untuk berjaya dalam bidang perniagaan, sifat jujur dan ikhlas harus ada dalam diri setiap peniaga selain memberikan perkhidmatan terbaik buat pelanggan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan kain yang dijual Su, bolehlah layari facebook dengan menaip namanya Surya Ardila.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: